Malaysia Dateline

Wuhan dibuka selepas 76 hari ‘lockdown’

Selepas lebih 2 bulan menjalani perintah berkurung, penduduk Wuhan dibenarkan keluar dari bandar itu sejak kali pertama China melaksanakan sekatan perjalanan pada 23 Januari lalu.

Wuhan bagaikan kembali hidup semula selepas pintu masuk dan keluar bandar itu dibuka semula tepat jam 12 tengah malam Rabu waktu tempatan.

Kereta api pertama yang membawa penumpang berlepas dari bandar itu pada jam 12.50 malam (1650 GMT) dan lebuh-lebuh raya juga dibuka semula pada masa sama.

Penghujung kepada perintah berkurung selama 11 minggu itu disambut meriah penduduknya dengan pertunjukan lampu.

Salah seorang penduduk berkata, Wuhan akhirnya bangkit semula secara berperingkat dan akan bersama-sama memacu ekonomi China dan negara-negara lain di dunia untuk berdiri lagi.

“Secara beransur-asur bandar ini mula pulih dan Wuhan kami sudah kembali,” katanya.

Hari ini media antarabangsa Al Jazeera melaporkan Wuhan mula membenarkan rakyatnya meninggalkan Wuhan untuk pertama kali selepas bandar utama China itu ditutup selama 76 hari bagi menghalng penularan Covid-19 yang mula muncul di daerah itu tahun lalu.

Anggaran 65,000 orang meninggalkan Wuhan sebaik pengumuman sekatan perjalanan ditarik balik dibuat.