Malaysia Dateline

Wujud campur tangan politik dalam bantuan PKP

Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor hari memaklumkan bahawa wujud campur tangan politik dalam usaha kemanusiaan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan.

Perkara itu dijelaskan dalam satu kenyataan media PH Johor bertarikh 6 April 2020 yang menyatakan berkenaan sumbangan bungkusan makanan yang bernilai RM 100 kepada mereka yang memerlukan.

“Hampir semua Ahli Parlimen PH telah dimaklumkan bahawa 1,000 unit bungkusan bantuan makanan bernilai RM 100 akan disediakan untuk setiap kawasan parlimen.

“Walau bagaimana pun, kami juga dimaklumkan ada campur tangan parti politik tertentu di mana senarai penerima bantuan dari Ahli Parlimen PH disisihkan dalam agihan bungkusan makanan kepada sasaran.

“Ahli Parlimen PH dengan bantuan pihak berkuasa sedia mengedarkan bungkusan makanan tersebut kepada orang ramai,” kata kenyataan media tersebut.

Sehubungan dengan itu, PH Johor mendesak agar pihak kementerian menyelesaikan perkara yang dianggap sebagai diskriminasi tersebut.

“Kami mendesak kementerian mengambil pendirian tegas supaya semua 1,000 unit bungkusan bantuan diagih mengikut garis panduan dan keterlibatan Ahli Parlimen di setiap kawasan.

“Elakkan pengagihan mengikut penyokong parti politik dalam suasana rakyat terbeban dengan kekurangan kewangan dan makanan kerana PKP.

“Ianya tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak sekiranya kerajaan mengambil langkah menyisihkan senarai nama yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen PH.

“Malah ia menjejaskan usaha PKP seluruh negara untuk menawan wabak Covid 19 apabila agihan dilihat tidak adil,” kata kenyataan media itu lagi.

Kenyataan media tersebut telah diperakui oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Negeri Johor, Liew Chin Tong.