Malaysia Dateline

Wujud dua salah guna kuasa anak syarikat kerajaan negeri, dakwa Pemuda AMANAH Terengganu

Pemuda AMANAH Terengganu mendakwa wujud salah guna kuasa di Hotel Paya Bunga yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri.

Hal tersebut membabitkan pengurus besar hotel itu, Abdul Hadi Alias yang telah dilantik oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Hotel sebelum ini iaitu Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali.

Menerusi kenyataan Pemuda AMANAH negeri hari ini, perkhidmatan pengurus besar itu disambung oleh Pengerusi baharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dari Pas.

“Dua salah guna kuasa yang dilakukan adalah mengarahkan pembelian sebuah kereta Honda CRV nombor pendaftaran TCG 6040 berwarna hitam untuk kegunaan peribadi walaupun kereta syarikat untuk kegunaan hotel telah pun ada.

“Kedua, mengubahsuai bilik rasmi hotel untuk kegunaan anak pengurus besar tersebut sebagai bilik aktiviti E-Games peribadi,” katanya.

Menurut Pemuda AMANAH negeri, pembelian kereta baharu untuk kegunaan peribadi pengurus besar adalah satu pembaziran ketika perniagaan hotel mengalami kerugian mendadak akibat pandemik Covid-19, apatah lagi kereta itu diguna hanya untuk diri individu itu sahaja.

“Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah telah meluluskan pembelian van dan kereta untuk kegunaan syarikat.

“Sebaliknya, apa yang berlaku adalah kereta sahaja yang dibeli, manakala van yang lebih sesuai untuk kegunaan operasi hotel tidak dibeli,” ujarnya.

Sayap parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu juga memberitahu sumber memaklumkan bahawa banyak keputusan kewangan yang tidak menjaga kebajikan pekerja seperti tiada pembelian uniform baharu untuk staf dan tuntutan perjalanan yang tidak bersangkutan dengan urusan hotel turut dituntut oleh Abdul Hadi Alias.

“Salah laku kedua lebih memeranjatkan yang jelas menunjukkan berlakunya salahguna kuasa adalah memberikan hak penggunaan bilik rasmi hotel untuk kegunaan peribadi anak beliau secara tetap.

“Pengubahsuaian telah dibuat secara sewenangnya oleh anak beliau, Irfan Bin Abdul Hadi (Facebook : Irfan Hadi Advent – https://www.facebook.com/rionari.advent).

“Bilik tersebut adalah bilik mesyuarat di tingkat 10 dan bersebelahan dengan bilik tamu hotel (No 1021) dan staf dilarang sama sekali untuk memasuki bilik terbabit,” jelasnya.

Kenyataan itu turut menyebut bilik itu dijadikan ruangan hiburan bermain permainan atas talian (online games) bersama rakan Irfan secara bebas tanpa kawalan.

“Dipercayai ubahsuai ini menunjukkan operasi perniagaan peribadi berlaku tanpa apa-apa sewaan atau bayaran kepada pihak hotel.

“Sekalipun terdapat bayaran sewaan, ini merupakan bentuk salah guna kuasa untuk kegunaan peribadi kerana aktiviti tersebut tidak ada kena-mengena dengan perniagaan rasmi hotel,” tegasnya.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Terengganu mendesak Ahmad Shah Mohamed mengambil tindakan segera memecat Abdul Hadi sebagai Pengurus Besar Hotel Paya Bunga.

Ahmad Shah turut digesa melaporkan kes salah guna kuasa itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tanda komitmen kerajaan negeri terhadap integriti selaras dengan tema pentadbiran “Maju, Berkat, Sejahtera”.