Wujud persatuan untuk promosi hubungan Ivory Coast-Malaysia

Wujud persatuan untuk promosi hubungan Ivory Coast-Malaysia

Persatuan Côte d’Ivoire-Malaysia Bridge, sebuah badan bukan politik yang ditubuhkan untuk mempromosi hubungan Ivory Coast-Malaysia, telah memulakan beberapa inisiatif membantu mengukuhkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara, kata pengerusinya, Dr Rene-Francois Monckeh.

Dalam satu wawancara dengan Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini,  Monckeh juga seorang ahli ekonomi berkata sejak merdeka Malaysia telah mencapai kemajuan dan transformasi ekonomi.

Justeru, banyak perkara Ivory Coast dan rakyatnya boleh pelajari dari Malaysia yang mempunyai kira-kira 32 juta penduduk, katanya.

“Beberapa orang pengasas persatuan itu pernah melawat Malaysia dan kagum dengan pencapaian negara dalam bidang pembangunan ekonomi serta sosial.

“Oleh itu, kami memutuskan untuk menubuhkan persatuan sebagai platform membantu Ivory Coast mempelajari kisah kejayaan Malaysia dan mendapat manfaat daripada pengalamannya,” kata Monckeh.

Persatuan Côte d’Ivoire-Malaysia Bridge ditubuhkan pada 10 Disember 2016 oleh penduduk Ivory kebanyakannya pengurus perniagaan, penjawat awam dan pekerja swasta, bertujuan mengukuhkan kerjasama budaya, ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan negara Afrika barat yang berjumlah 25 juta orang.

Monckeh berkata persatuan sedang mengusahakan beberapa inisiatif untuk menyatukan komuniti perniagaan, penjawat awam, ahli akademik, pelajar dan rakyat kedua-dua negara melalui pelbagai program bagi menggalakkan pertukaran perdagangan dan kebudayaan, selain meningkatkan kerjasama dan hubungan antara rakyat.

Seperti kebanyakan negara Afrika lain, ujar beliau negara itu menghadapi cabaran pembangunan ekonomi dan sosial dalam menyediakan pekerjaan serta pendidikan berkualiti kepada rakyat dan membasmi kemiskinan.

Antara inisiatif yang dirancang ialah pameran perdagangan di Ivory Coast dan di Malaysia.

Di samping itu, katanya persatuan juga bercadang mengadakan seminar di Ivory Coast untuk ibu bapa dan pelajar melihat peluang pendidikan di Malaysia.

Kos menyambung pengajian di Malaysia jauh lebih murah berbanding United Kingdom atau Amerika Syarikat katanya, yang sepanjang berada di negara ini telah melawat dua buah universiti swasta.

Monckeh berkata buat masa ini, terdapat kira-kira 30 rakyat Ivory Coast di Malaysia, kebanyakannya pelajar, pensyarah, ahli perniagaan dan beberapa pemain bola sepak.

Ujarnya, hanya satu syarikat Malaysia beroperasi di Ivory Coast iaitu dalam industri minyak sawit.

Selain itu beliau juga akan berhubung dengan akademi bola sepak di negaranya untuk berbincang jika terdapat peluang kerjasama yang boleh dijalinkan dengan Malaysia dalam bidang sukan.

Akademi bola sepak Ivory Coast telah melahirkan beberapa pemain antarabangsa.

Ivory Coast, mendapat kemerdekaan dari Perancis pada 1960 dan merupakan pengeluar koko terbesar dunia.

Negara itu pernah menempuh dua perang saudara iaitu antara September 2002 hingga Mac 2007 dan dari November 2010 hingga April 2011.

— BERNAMA