Malaysia Dateline

Wujudkah Makcik Kiah atau hanya ‘fairytale’ Pak Kaduk?

Sama ada Makcik Kiah wujud atau sebaliknya maupun hanya ‘fairytale’ Pak Kaduk masih menjadi misteri.

Demikian dipersoalkan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil mengulas mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Malah kata beliau lagi, pakej ini walaupun didakwa bernilai RM250 bilion, namun pada hakikatnya kerajaan hanya membelanjakan sebanyak RM22 bilion, sedangkan selebihnya adalah duit rakyat sendiri iaitu nilai moratorium RM100 bilion, nilai EPF RM40 bilion serta jaminan pinjaman dana jamin RM50 bilion.

“Pemberian wang tunai adalah langkah klise mana-mana kerajaan, namun begitu wang ini harus dibelanjakan secara berhemah kerana tempoh sukar ini tidak akan tamat dalam tempoh waktu terdekat wabak Covid 19 sahaja, kerana impak kemerosotan ekonomi akan berpanjangan, apatah lagi dengan kejatuhan harga minyak dan kurangnya keyakinan pelabur terhadap kerajaan yang tidak dipilih rakyat sekarang.

“Bantuan terus wang tunai kepada golongan B40 dan M40 yang berkeluarga dan bujang dialu-alukan bagi membolehkan rakyat berbelanja akibat kehilangan pendapatan atau pekerjaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

” Apa yang membimbangkan ialah pengurusan penyampaian wang ini kepada golongan sasar seperti mereka yang bekerja sendiri atau berpendapatan harian seperti nelayan, petani, peniaga kecil, penjaja, pemandu teksi dan e-hailing, mekanik, peruncit dan seumpamanya, ” jelas beliau.

Tanya Faiz lagi, apakah database yang akan digunakan. Sejajar dengan itu persatuan golongan sasar seperti persatuan peladang, peniaga kecil dan sebagainya harus dilibatkan bagi mengelak keciciran.

Beliau juga berkata, dengan pemberian wang tunai tersebut, kerajaan perlu memastikan tiada spekulasi harga sehingga menyebabkan harga barang naik yang akhirnya akan membebankan semua rakyat, kesan langsung kepada penerima bantuan dan yang tidak menerima bantuan.

Tambahnya, mekanisme menguruskan bekalan barangan makanan harus diperkemaskan secara sistematik supaya tidak berlaku ‘supply chain disruption’ yang merugikan banyak pihak termasuk peniaga dan pengguna.

“Akta Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 hendaklah dikuatkuasakan secara tegas.

” Pakej ini juga tidak menyentuh isu kehilangan pekerjaan(unemployment) secara mendalam dan tidak ada langkah khusus untuk menghindari pemberhentian pekerja berskala besar.

” Subsidi upah RM600 adalah inisiatif yang baik, namun ianya tidak komprehensif, sepatutnya ia diberikan kepada semua peringkat jawatan dan tidak memerlukan syarikat membuktikan penurunan pendapatan sebanyak 50 peratus,” tegasnya lagi.

Sepatutnya kata Faiz, kerajaan mengambilalih ‘ a portion of worker’ s salary in affected sectors’. Di Singapura kerajaan membayar 25 peratus gaji dan usaha sebegini pasti dapat membantu syarikat mengekalkan pekerja, maka barulah wang yang dibelanjakan kerajaan akan turun kepada rakyat.

Beliau juga berkata, walaupun ada peruntukan RM1 bilion untuk dana jaminan makanan, namun tidak diperincikan nilai diperuntukan bagi memastikan ‘supply chain’ tidak terjejas.

Kerajaan tegasnya, perlu memastikan golongan pekerja di sektor – sektor yang terjejas teruk akibat Covid 19 seperti penerbangan, pelancongan dan seumpamanya perlu mendapat pembelaan serta kerajaan harus menyuntik dana khas bagi merangsang semula industri ini.