Malaysia Dateline

Wujudkan akta hina angkatan tentera, kata GRVATM

Akta Menghina Angkatan Tentera perlu diwujudkan sekiranya ia belum ada dalam undang-undang negara.

Namun begitu sekiranya, ia telah sedia ada, maka penguatkuasaan undang-undang tersebut harus dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi penghinaan yang semakin berleluasa terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Demikian dinyatakan oleh Presiden Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM), Veteran Bangkit, Azizan Salleh selepas membuat laporan polis bersama-sama dengan veteran tentera di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Bagan Serai, Perak pada Isnin.

Jelasnya, dengan adanya akta tersebut ia dapat menghalang dan memberi kesedaran kepada semua rakyat negara ini bahawa penghinaan yang dibuat terhadap ATM, bukan hanya membabitkan Angkatan Tentera, tetapi juga melibatkan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua

Tertinggi ATM, Pemerintah ATM, Menteri Pertahanan serta perajurit yang telah sekian lama berkorban untuk mempertahankan negara.

Tambah beliau lagi, penghinaan tersebut menghina seluruh anggota tentera termasuk veteran tentera

“Penghinaan terhadap ATM bukan satu perkara baru dan harus diberi pengajaran yang sewajarnya kepada mereka yang cuba membuat penghinaan tersebut.

“Setelah mereka menghina ATM, dengan begitu mudah pula mereka meminta maaf, sedangkan penghinaan yang dibuat menjatuhkan maruah dan juga pengorbanan yang telah dilakukan sejak sekian lama.

“Oleh kerana itu kita menuntut supaya satu akta khusus diwujudkan sekiranya ia belum lagi ada, bagi memastikan penghinaan tidak terus menerus dilakukan oleh rakyat dalam negara ini, ” tegasnya lagi.

Menurut Azizan lagi, laporan yang dibuat pada kali ini ekoran kenyataan yang dimuatkan melalui Facebook oleh Khairul Azman Harun yang menyatakan perkataan lucah serta ‘Tentera Pekerjaan Paling Bodoh Di Dunia’.

Sehubungan itu ujarnya, pihak polis diminta supaya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun tersebut maupun mana-mana individu yang begitu berani dan biadap menghina ATM.

Katanya, kegagalan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka yang sering menghina ATM akan menyebabkan wujudnya penghinaan yang berleluasa dan bercambah-cambah sehingga mencalarkan imej dan nama baik ATM.Wujud