Malaysia Dateline

Wujudkan akta ketum bagi tujuan khasiat dan ekonomi

Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan disarankan untuk mewujudkan satu akta khas bagi penggunaan dan pemilikan tanaman ketum bagi tujuan perubatan.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.

Jelasnya lagi, penggunaan ketum sebagai rawatan alternatif bagi mengatasi masalah penagihan dadah opioid selain daripada penggunaan metadon bukan sahaja mampu menjana pendapatan penduduk, malah juga mengurangkan perbelanjaan negara untuk mengimport bahan metadon dari luar negara.

Malah katanya lagi, pelbagai kajian yang telah dijalankan oleh agensi kerajaan dan institut penyelidikan tempatan seperti Risda, AADK dan universiti tempatan melihat ketum sebagai satu komoditi yang berpotensi untuk dikembangkan diluar negara dalam industri perubatan ekoran permintaan negara luar yang begitu tinggi terhadap bahan tersebut.

“Kerajaan harus berpandangan bahawa perlu untuk memperbetulkan pemahaman masyarakat awam tentang isu penggunaan daun ketum dalam memberi manfaat bukan sahaja kepada individu penagih, tetapi juga kepada pengusaha petani di luar bandar dan juga ekonomi negara.

“Kerajaan juga sepatutnya menyokong usaha yang dilakukan oleh FRIM dalam menyebarkan maklumat dan membetulkan tanggapan yang salah terhadap manfaat daun ketum yang secara saintifik mampu mengatasi masalah penagihan dadah.

“Potensi daun ketum dalam memajukan ekonomi negara dalam industri herba dilihat sangat tinggi berikutan amat sedikit paten berkenaan dengan ubat dan produk berasaskan daun ketum serta kajian yang dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia mendapati daum ketum di Utara Malaysia mempunyai kualiti yang lebih tinggi berbanding negara lain,” ujarnya.

Menurut Dr Afif lagi, Penubuhan Pusat Tanaman Herba Bertam yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, juga amat bersedia untuk dijadikan sebagai pusat kajian dan pengkomersialan produk berkaitan ketum untuk digunakan dengan selamat selaras

dengan hasrat dan wawasan kerajaan yang ingin menjadikan industri herba tergolong dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang berpotensi untuk menjana pendapatan negara.