Malaysia Dateline

Wujudkan akta khas beri perlindungan kepada warga emas

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menjelaskan sejauh mana Dasar Warga Emas Negara dan Dasar Kesihatan Warga Emas Negara telah dilaksanakan bagi kepentingan dan hak warga emas di negara ini.

Menerusi kenyataan bersama Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Ahli Dewan Negara, Lim Hui Ying, mereka mempersoalkan syor daripada kajian Universiti Malaya (UM) berhubung akta khas bagi memberi perlindungan kepada warga emas.

Ini kerana, UM dilantik sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk mengkaji isu melibatkan pengabaian dan penderaan, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mengkaji model penjagaan warga emas, yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada 2021.

“Adakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN) akan meneruskan usaha ini untuk memberikan perlindungan serta menjaga hal ehwal golongan ini?

“Pejabat Parlimen Batu Kawan dalam proses untuk menubuhkan satu Pusat Aktiviti Warga Emas.

“Namun, kelulusan dari Putrajaya masih mengambil masa berbulan walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah telah memberikan kerjasama serta nasihat dan panduan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, dua pemimpin berkenaan turut mempersoalkan bilakah akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta yang telah digazetkan pada 2018, akan dikuatkuasakan.

Menurut portal CodeBlue, sehingga 7 September 2020, pada masa Malaysia merekodkan kematian akibat Covid-19 sebanyak 128 orang, 68.7 peratus atau 88 kematian merupakan golongan warga emas.

Justeru, mereka turut mengajukan pertanyaan tentang pelan tindakan dari segi perlindungan, jaminan punca pendapatan dan kemudahan kesihatan agar warga tua tidak ketinggalan.

“Kami menyeru agar kerajaan meletakkan hak warga emas sebagai satu perkara arus perdana dalam perancangan negara pasca Covid-19 dan mengambil kira keperluan golongan warga emas dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara nanti.

“Cantas segala kerenah birokrasi dan ‘red-tape’ terutama sekali dalam memberikan bantuan kepada golongan ini kerana mereka yang di antara paling terkesan dan terjejas di negara ini,” kata Kasthuri dan Hui Ying lagi.