Wujudkan ‘Bank Makanan’, perhalusi ide penubuhan Majlis Tahfiz Negara

Wujudkan ‘Bank Makanan’, perhalusi ide penubuhan Majlis Tahfiz Negara

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh mencetuskan ide untuk menubuhkan sebuah ‘bank makanan’ bagi membantu maahad tahfiz di seluruh negara.

Ide itu tercetus hasil daripada pertemuan tertutup yang diadakan oleh beliau bersama dua wakil Persatuan Permata Al-Quran dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) baru-baru ini.

Pertemuan yang diatur oleh Malaysia Dateline di Bangunan sementara Parlimen itu berlangsung lebih sejam dan difahamkan banyak perkara berbangkit berkaitan dengan institusi tahfiz di negara ini telah dibincangkan bersama oleh dua persatuan itu dengan timbalan menteri agama.

Wakil persatuan terdiri daripada Presiden Permata Ustaz Manolito Ahmad Dahlan diiringi bersama Prof Musa Ahmad, Datuk Adnan Hasyim dan Ustazah Hasna Abdul Samad dan turut hadir Presiden Pitas Selangor Ustaz Muhamad Hafiz Hanefa.

Menurut Fuziah, hasil daripada perjumpaan diadakan itu beliau bersetuju untuk mengadakan muzakarah antara persatuan dan pengusaha tahfiz di negara ini, selain untuk mewujudkan ‘bank makanan’.

“Kita akan membantu pusat tahfiz. Kita cuba untuk dapatkan’ bank makanan’ untuk sekolah tahfiz. Kita menyedari kos operasi tahfiz tinggi dan antaranya kos penyediaan makanan.

“Saya komited untuk bantu mereka dalam konsep wakaf tahfiz yang mana kita akan buat sebuah bank makanan, insyallah jika ide ini dilancarkan nanti diharap akan dapat sokongan orang ramai,” ujar Ahli Parlimen Kuantan itu.

Manakala Presiden Permata, Ustaz Manolito Ahmad Dahlan berkata, beberapa pandangan yang sangat baik diberikan timbalan menteri antaranya bank makanan dan pelaksanaan Majlis Tahfiz Negara.

“Pihak YB telah terima pelbagai saranan daripada pihak persatuan dan pandangan yang sangat bernas dan baik juga diberikan pihak YB.

“Antara perkara besar yang dibangkitkan oleh YB Timbalan Menteri akan kewujudkan Majlis Tahfiz Negara yang akan dibincangan dengan Jakim dan beberapa institusi pengajian tinggi bersama persatuan untuk memperincikannya lagi.

“Dalam masa terdekat perkara itu akan diatur oleh Yb Timbalan Menteri untuk diteliti dan akan jadi salah satu dasar dalam negara.

“Pandangan daripada YB Fuziah juga untuk mewujudkan bank makanan. Hasil Sumbangan orang ramai akan disalurkan kepada maahad tahfiz untuk mengurangkan kos operasi maahad tahfiz berkaitan soal makanan.

“Ia akan bekerjasama dengan syarikat gergasi pengeluar makanan dan pasaraya yang akan disalurkan terus ke maahad tahfiz melalui mekanisma yang akan ditentu kemudian,” ujarnya.

Selepas perbincangan diadakan pihak persatuan telah menyerahkan lapan kertas cadangan kepada timbalan menteri ia berkaitan dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN),Latihan perguruan Tahfiz TVET. Universiti al-Quran, Seminar keselamatan pelajar, guru dan kakitangan wanita di Maahad Tahfiz, Sukan dan Amal Islami peringkat kebangsaan, Street Dakwah Tahfiz dan Tahfiz Mart.

Perbincangan tertutup antara dua pihak itu adalah ‘kerahsiaan’ tidak dirakamkan untuk sebaran media, Malaysia Dateline hanya mendapatkan maklumbalas spontan dua pihak selepas selesai perbincangan diadakan.

Baca: Status sekolah tahfiz

Baca: Segera gubal Akta Tahfiz Negara