Wujudkan biasiswa Bangsa Johor – Salahuddin

Wujudkan biasiswa Bangsa Johor – Salahuddin

Parti Amanah Negara (Amanah) bersama Pakatan Harapan akan merangka pelan induk pendidikan yang lengkap bagi meningkatkan keupayaan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memberikan lebih banyak biasiswa kepada anak-anak bangsa Johor.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, langkah ini berikutan pihaknya menerima banyak maklumat dari ibu bapa mengenai kesukaran mendapatkan bantuan pelajaran dari YPJ akhirakhir ini.

Kesukaran ini bukan sahaja untuk mendapatkan pinjaman malah biasiswa untuk anak-anak mereka yang berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan mahupun luar negara juga sukar diperoleh.

“Kerajaan Negeri Johor seharusnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan anak-anak bangsa Johor yang berpotensi besar untuk menjadi modal insan diberikan biasiswa tanpa mengira siapapun mereka,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, wajar bagi kerajaan Negeri Johor yang mendapat limpahan projek-projek mega seperti Wilayah Pembangunan Iskandar dan Rapid Petronas Pengerang memperuntukkan bajet yang mencukupi kepada YPJ untuk memberikan bantuan biasiswa kepada anak-anak bangsa Johor .

YPJ ditubuhkan melalui penguatkuasaan Enakmen Yayasan Pelajaran Johor 1982 di bawah pengurusan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dalam menguruskan tabung biasiswa dan pinjaman pelajaran Negeri Johor.

Ia bagi membantu anak-anak Johor melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi di dalam dan di luar negara.

TAGS