Malaysia Dateline

Wujudkan capaian aplikasi pemudah cara terima aduan rakyat, kata Adun Senggarang

Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim berkata, kemudahan talian internet perlu dimanfaatkan bagi memudahkan sebarang aduan dari rakyat kepada wakil rakyat.

Beliau mengulas lanjut perkara itu ketika pelancaran Sistem Pengurusan Aduan (Sepadu) di Dun beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa segala usaha untuk mendengar keluhan serta aduan rakyat perlu dipratikkan dengan bersungguh-sungguh agar segala denyut nadi rakyat bawahan dapat didengari.

“Sistem ini adalah untuk digunakan sebagai pengendalian data bagi aduan yang membabitkan permasalahan rakyat.

“Ia adalah sebuah aplikasi untuk diberikan kepada seluruh Ketua Kampung di Dun Senggarang. Ini bagi memudahkan pihak kami menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Pelbagai aduan akan dimasukkan dalam sistem ini. Kita mahu mendengar rintihan rakyat dan sekaligus dapat menyelesaikan permasalahan mereka,” ujar beliau.

Dalam pada itu beliau berkata, sistem tersebut akan dijadikan pemudah cara antara rakyat dan Ketua Kampung.

Beliau turut memberi respon berkenaan terdapat permasalahan rakyat yang tidak diketahui oleh pihaknya atas faktor maklumat yang tidak dapat diterima oleh pihaknya.

“Terdapat permasalahan sebelum ini yang mana apa yang diinginkan oleh penduduk tidak dapat kami perolehi kerana kekurangan maklumat di peringkat bawahan.

“Ini adalah insiatif pihak kami untuk memberi khidmat yang terbaik kepada penduduk di Dun ini.

“Selain itu, pengadu juga boleh memberikan maklumat sekiranya mereka mendapati terdapat golongan yang terpinggir di Dun ini. Ini secara langsung menerapkan rasa mengambil tahu tentang permasalahan jiran-jiran terdekat mereka.

“Sehubungan dengan itu juga, pihak kami turut mengarahkan agar Ketua Kampung bertindak untuk mendekati serta menyelami lagi permasalahan penduduk secara turun padang dan ia perlu dilakukan,” ujarnya lagi ketika pelancaran ‘Sepadu’ di Senggarang Batu Pahat, Johor.