Malaysia Dateline

Wujudkan garis panduan kuliah sebelum solat Jumaat

Pihak berkuasa agama patut ada suatu garis panduan khusus untuk kuliah sebelum solat Jumaat. Tujuannya ialah, memberi peluang kepada orang yang hadir awal ke masjid untuk beriktikaf, membaca al-Quran atau berzikir tanpa diganggu oleh suara pengkuliah.

Bukan semua orang yang hadir awal ke masjid untuk mendengar kuliah. Ada yang mahu membaca surah al-Kahfi, beristighfar, berselawat atau sekadar duduk bertafakkur merenung diri sendiri sebagai hamba di rumah-Nya pada hari yang mulia dan waktu berharga itu.

Namun semua itu tidak dapat dibuat dengan baik kerana telinga turut diasak oleh suara pengkuliah dari pembesar suara yang memenuhi segenap ruang masjid sehingga kadang-kadang solat tahiyyat masjid pun turut terganggu.

Makmum seolah-olah dipaksa untuk mendengar kuliah yang kadang-kadang entah apa-apa dari pengkuliah yang mengomel, kadang-kadang tanpa hujung pangkal. Suara ditinggikan, diselang-seli sedikit lawak, tiada tajuk khusus dan isi kuliah terlalu biasa-biasa.

Saya bukan anti kuliah sebelum solat Jumaat, bahkan saya juga pernah menyampaikannya untuk meraikan penganjur, cuma suatu garis panduan perlu dibuat mengambil kira kepentingan jamaah yang hadir awal untuk tujuan bukan mendengar kuliah.

Antara cadangan saya ialah:

i. Berhenti 20 atau 30 minit sebelum masuk waktu Jumaat mengambil kira tempoh itu cukup untuk menghabiskan surah al-Kahfi bagi yang mahu membacanya sebelum solat Jumaat.

ii. Menggunakan pembesar suara yang membolehkan peminat kuliah saja mendengarnya, bukan seluruh masjid supaya tidak mengganggu orang lain yang tidak mahu mendengar kuliah.

iii. Diadakan di dewan atau ruang khusus untuk peminat kuliah, bukan di ruang utama masjid supaya ruang berkenaan turut boleh dimanfaatkan oleh orang yang tidak mahu mendengar kuliah.

iv. Menetapkan silibus khusus untuk kuliah supaya pengkuliah tidak melalut dan bercakap tanpa panduan.

Mungkin ada orang yang tidak terganggu dengan kuliah yang disampaikan sambil berzikir atau membaca al-Quran, tetapi saya yakin ramai yang terganggu dan hilang fokus. Sewajarnya kepentingan golongan ini dijaga dan diraikan kerana mereka juga tetamu di rumah Allah pada hari Jumaat.

Jika kuliah memberi manfaat kepada peminat kuliah, zikir dan membaca al-Quran juga bermanfaat untuk pengamalnya. Jika dikata, jika mahu baca al-Quran ambillah waktu lain, boleh juga dikata, jika mahu dengar kuliah, pilihlah malam kuliah.

Lebih menyedihkan, ada sebahagian masjid mengambil kesempatan waktu sebelum Jumaat untuk memaksa makmum mendengar apa yang masjid mahu sampaikan mewakili kelompok tertentu sama ada kelompok politik dan sebagainya.

Pengunjung rumah Allah pada hari Jumaat perlu dirai secara sama rata kerana Allah memuliakan semua hamba dan tetamu-Nya tanpa mengira pengkuliah, peminat kuliah atau bukan peminat kuliah.

Saya harap teguran dan cadangan ini dapat disampaikan kepada pihak berkuasa agama, terutama Menteri Agama agar suatu tindakan yang bermanfaat untuk umat dapat diambil.