Malaysia Dateline

Wujudkan mekanisme galak anak muda keluar mengundi, kata Takiyuddin

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berpendapat kerajaan perlu mewujudkan mekanisme untuk memberi kesedaran kepada anak muda terutama yang berusia 18 tahun untuk mengundi.

Beliau berkata, pindaan Perlembagaan menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun yang mendapat sokongan sebulat suara itu, perlu untuk memastikan golongan muda keluar mengundi.

Ini kerana katanya, masih terdapat rekod mereka yang berpelajaran dan berumur 70 tahun masih lagi tidak menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi.

“Sekarang ini tugas atau bola berada di kaki pihak yang bertanggungjawab terutama SPR untuk memastikan mekanisme yang perlu diwujudkan untuk merealisasikan satu peruntukan Perlembagaan yang pertama kali diluluskan sebulat suara.

“Apabila kerajaan melaksanakan pendaftaran automatik, umur 18 tahun terdaftar sebagai pemilih. Tapi adakah mereka akan mengundi?

“Pandangan saya adalah lebih mudah memastikan rakyat Malaysia dalam daftar pemilih (untuk mengundi), berbanding mengajak mereka yang belum mengundi.

“Bukan sahaja 21 tahun, yang 70 tahun pun ada yang tak berdaftar. Dalam kalangan orang yang berpelajaran sendiri pun kita pernah dengar kes,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Make a Change, Let’s Do it Together yang membincangkan topik Ke Arah Automatik: Keperluan atau Kehendak Semasa?, anjuran SPR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Ahli panel lain, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; dan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tambah Takiyuddin, apabila pengundi sudah didaftar sebagai pemilih, maka menjadi tanggungjawab parti politik untuk mengadakan usaha kesedaran dan program memastikan pengundi terutama ahli untuk keluar mengundi.

“Ini isu yang dibangkitkan, apakah langkah yang akan diambil oleh SPR untuk menimbulkan kesedaran demokrasi terutama golongan muda supaya ada kesedaran sendiri untuk tunaikan tanggungjawab.

“Bagaimana dengan mereka yang mengalami kekangan untuk keluar mengundi, terutama pekerja di pelantar minyak, dan pelajar universiti yang ketika itu mungkin tinggal jauh dari tempat kelahiran atau sedang menduduki peperiksaan.

“Jadi, kerajaan perlu memikirkan penyelesaian misalnya mengkategorikan mereka sebagai pengundi awal. Beri ruang tunai tanggungjawab tanpa menjejaskan pekerjaaan mereka,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi.