Malaysia Dateline

Wujudkan mekanisme telus dalam pelantikan GLC

Kenyataan media oleh Pengerusi Prasarana (kini mantan) lanjutan tragedi kemalangan LRT pada malam Selasa menimbulkan kritikan pelbagai pihak.

Sikap tidak profesional dan sambil lewa beliau terhadap kemalangan yang julung kali berlaku dalam sejarah perkhidmatan LRT negara telah menimbulkan kemarahan masyarakat umum.

Akibat sikap beliau, imej Prasarana dan negara tercalar. Apa yang melegakan, tidak sampai satu hari dari masa kenyataan media dibuat, perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana telah ditamatkan.

Namun, apa yang lebih penting, peristiwa ini telah menimbulkan persoalan tentang kewibawaan pemimpin yang dilantik untuk menerajui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negara ini.

Selain Prasarana, adakah terdapat GLC lain yang menerima nasib yang sama? Tentu sekali kita tidak mahu menunggu satu lagi tragedi seumpama berlaku sebelum menemui permasalahan yang serupa.

Secara prinsipnya, pelantikan seseorang untuk memimpin mana-mana entiti, apatah lagi entiti yang berkepentingan awam tentunya memerlukan kelayakan serta ciri-ciri keperibadian yang mulia dengan memiliki pengetahuan serta kemahiran khusus.

Di antara ciri-ciri asas untuk memimpin ialah bijak mengurus dan mempunyai pengetahuan, mempunyai kekuatan dan juga amanah, sejajar dengan ajaran agama.

Ciri-ciri ini telah disebut dalam al-Quran dan hadis. Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Jika amanah telah disia-siakan, tunggu sahaja kehancuran terjadi”. Ada seorang sahabat bertanya,“Bagaimana maksud amanah disia-siakan?”.

Nabi menjawab,“Jka urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT dalam Al-Quran: Berkata Yusuf:”Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”; (Surah Yusuf: Ayat 55)

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” (Surah al-Qasas: Ayat 26)

Berdasarkan panduan agama dan ilmu pengurusan moden, sudah terbukti dan jelas bahawa pemimpin mestilah dipilih atau dilantik daripada kalangan yang kompeten dan berintegriti.

Kompeten bermaksud mempunyai keupayaan, ilmu dan juga kemahiran untuk melaksanakan tugas kepimpinan dengan jayanya. Integriti pula merujuk kepada sifat kejujuran dan berpegang kepada prinsip-prinsip moral yang utuh.

Sehubungan dengan itu, saranan-saranan berikut boleh dilaksanakan untuk memastikan pemilihan atau pelantikan pemimpin yang terbaik di negara kita, khususnya untuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC):

1. Mewujudkan mekanisme pemilihan yang jelas dan telus melalui badan, panel atau lembaga tertentu, sebagai contoh Jawatankuasa Pilhan Khas (Parliamentery Select Committee).

Badan, panel atau lembaga ini hendaklah dianggotai oleh ahli yang berpengalaman luas dan daripada pelbagai latar belakang yang relevan, sama ada daripada sektor awam ataupun sektor swasta dan badan bukan kerajaan
(NGO).

2. Membangunkan kriteria yang jelas dan spesifik berdasarkan skop, peranan dan tanggungjawab sesuatu tugas kepimpinan. Kriteria-kriteria pemilihan mestilah menekankan calon yang kompeten yang mempunyai kelayakan
akademik atau pengalaman yang bersesuaian dan kemahiran serta integriti.

Dengan kata lain, calon yang dipilih mestilah job-fit dan strategy-fit bersesuaian dengan keperluan jawatan yang dicalonkan.

Apabila proses pemilihan atau pelantikan pemimpin itu jelas, diinstitusikan dan telus, maka calon yang terbaik dapat dipilih berdasarkan mekanisme dan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan, sama ada calon tersebut daripada kalangan ahli politik mahupun bukan.

Apa yang penting, calon yang terbaik mestilah dipilih demi kebaikan negara tanpa kecuali, khususnya jawatan-jawatan yang mempunyai kepentingan awam dan melibatkan dana awam.

———————

Penulis ialah Timbalan Presiden IKRAM