Wujudkan model pondok Malaysia untuk martabatkan pendidikan Islam, kata Mujahid

Wujudkan model pondok Malaysia  untuk martabatkan pendidikan Islam, kata Mujahid
Datuk Dr Mujahid Yusof bergambar bersama pengusaha, guru dan pelajar pondok pada Konvensyen Pondok Kebangsaan yang diadakan di Bangi hari ini.

Institusi Pondok  diharapkan dapat memainkan peranan yang besar dalam merealisasika konsep dan harapan untuk mewujudkan model Pondok Malaysia untuk memartabatkan pendidikan Islam dalam dan luar negara..

Kerajaan  juga mahu melihat institusi pondok berperanan dan berfungsi untuk terus menyumbang kepada cita-cita seluruh rakyat negara ini dalam memartabatkan institusi pendidikan Islam dalam kerangka Malaysia baharu.

“Kerajaan hari ini melihat institusi pondok sebagai salah satu sumbangan terbesar masyarakat  membentuk masa depan negara dengan pendekatan Malaysia baharu.

“Oleh itu jangan sekali kita menyisihkan cita-cita dan harapan (memartabatkan) pondok melainkan kita letak diri kita dalam kerangka itu dengan kehebatan pondok dan sejarah perkembangannya yang terdahulu.

“Lebih penting kita (kerajaan) diamanahkan untuk menjaga pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam,sudah tentu menyambut baik inisatif mengadakan konvensyen sebegini yang akan menjadi titik tolak antara ulama dan umarak,” ujarnya dalam ucapan perasmian pada Konvensyen Pondok Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim) di Bangi, hari ini.

Beliau berkata, institusi pondok di negara ini perlu mengambil peluang untuk mengubah pengurusan pondok daripada pondok tradisi kepada pondok integrasi bagi memenuhi permintaan ibubapa dan keperluan semasa.

“Kita perlu mengintegrasikan pendidikan pondok ke arus perdana untuk memperkasakan pendidikan Islam di negara ini.

“Maka semua pengusaha dan guru pondok perlu mengambil peluang ini untuk mengisi dan menampung keperluan ini dengan syarat bersedia untuk mengikut arus perdana perubahan dalam mengwujudkan kurikulum bersepadu.

“Kita harus meletakkan model Pondok Malaysia untuk menunjukkan model pondok kita boleh diterima dalam sistem pendidikan luar negara.

“Model Pondok Malaysia ini nanti mestilah yang tidak mengenepikan kepentingan maqasid syariah kerana ia satu tuntutan yang penting kini,” ujarnya.

Dalam konvensyen diadakan ini, Dr Mujahid turut menyampaikan simbolik cek RM600,000 kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Haris Kassim.

Ia adalah sumbangan daripada peruntukan RM25juta kepada institusi pondok yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan dalam Bajet 2019.

Konvensyen sehari ini dihadiri itu 300 pengusaha,guru dan pelajar daripada 158 buah pondok seluruh negeri.

Beberapa kertas kerja telah dibentangkan yang disampaikan oleh Prof Madya Dr Ruzman Mohd Nor dengan tajuk “Kurikulum Pondok Abad 21 Model Malaysia dan;Timbalan Pengerusi Lepai Prof Emeritus Dtuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid dengan kertas kerja bertajuk:” Amalan Terbaik Pengurusan Pondok”.

Turut hadir Pengerusi Lepai Tan Sri Dr Yusuf Noor dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)  Jakim, Datuk Paimuzi Yahya.