Malaysia Dateline

Wujudkan segera program pengukuhan kesihatan mental rakyat

Kerajaan disarankan memberikan penekanan yang khusus terhadap kesejahteraan mental rakyat dalam keadaan mereka semakin tertekan dengan kehidupan hari ini.

Saranan itu disuarakan oleh Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor, Nor Hayati Bachok yang berkata sudah berulang kali saranan tersebut disuarakan namun kerajaan masih tidak bertindak.

“Selain kelangsungan ekonomi, pembangunan kesihatan mental juga perkara yang penting untuk diberikan tumpuan oleh kerajaan.

“Kalau dilihat melalui statistik terkini peratusan kes-kes yang melibatkan kesihatan mental dan gangguan psikologi seperti bunuh diri, kemurungan, keresahan dan serangan panik meningkat sepanjang PKP sejak mula dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

“Kerajaan tidak seharusnya memandang mudah dengan perkara tersebut kerana menjejaskan keselamatan keluarga dan kesejahteraan sosial masyarakat,” katanya ketika dihubungi.

Adun Maharani itu turut menyatakan bahawa peruntukan RM24 juta untuk pengukuhan kesihatan mental dalam Belanjawan 2021 sewajarnya ditambah untuk menjalankan program seperti rehabilitasi, terapi dan kaunseling kepada individu dan keluarga yang mempunyai masalah kesihatan mental sepanjang PKP.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya mengadakan program secara atas talian kepada rakyat serta mengadakan iklan berbentuk pembangunan kesejahteraan mental atau kesedaran di kaca televisyen dan laman maya.

“Belanjawan seperti yang diberikan kepada J-Kom itu sepatutnya perlu disalurkan kepada program-program komunikasi kesedaran kesihatan mental sama ada atas talian mahu pun iklan sehinggalah cereka pendek di pelbagai medium penerangan kepada rakyat.

“Sepertimana yang kita ketahui sebanyak hampir RM 35 juta diperuntukkan untuk membina dewan serbaguna di Pagoh, lebih baik peruntukan tersebut diagihkan untuk program-program kesihatan menta dan modal insan.

“Kerajaan perlu memandang serius akan hal ini bagi memastikan kesejahteraan dan keberlangsungan kehidupan rakyat di negara ini,” katanya lagi.