Malaysia Dateline

Wujudkan sekretariat rundingan Pemuda PH

Exco Armada Nasional Bersatu, Muzzammil Ismail berpendapat, sekretariat rundingan Pemuda Pakatan Harapan (PH) perlu diwujudkan bagi menyelesaikan kemelut serang-menyerang di platform media.

Katanya, kewujudan sekretariat itu antara lain bertujuan menyelesaikan perang mulut setelah banyak usaha perbincangan dan teguran menemui kegagalan.

“Ketika mana pimpinan Pemuda PH semakin hilang fokus dalam arus perjuangan politik dan sedang berpecah belah dalam saf kepimpinan, perlu wujud satu kelompok (sekretariat) untuk menjadi ‘jaksa pendamai’ dalam usaha menyelamatkan kesatuan dan kesepakatan sedia ada.

“Apa yang disarankan dan ditegaskan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan tidak akan lama selagi pimpinan berterusan menimbulkan prasangka jahat sesama sendiri.

“Hubungan kerjasama politik antara parti semakin dingin kerana kita kurang berinteraksi dan berkomunikasi. Hanya balas-membalas sesama sendiri di ruangan media dan akhirnya kita hilang pedoman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam isu sama, Muzzammil turut mempersoalkan tentang kali terakhir mesyuarat Pemuda PH dibuat.

“Bilakah mesyuarat kali terakhir Pemuda PH dibuat? Molek sekiranya dibuat sebulan sekali atau sekerap yang mungkin.

“Tidak kisah jika ada yang gagal hadir atau dengan sengaja memboikot. Daripada situ, kita akan mewujudkan rasa ikhlas dan boleh mengkritik pihak yang tidak komited.

“Saya ingin menyatakan bahawa tingkap rundingan dan etika mengeluarkan kenyataan antara pimpinan masih terbuka luas dalam memastikan hayat politik PH,” ujarnya lagi.