Malaysia Dateline

Wujudkan SOP berkaitan keganasan rumah tangga untuk tempoh PKP

Kerajaan disaran supaya segera mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas berkaitan hal keganasan rumah tangga yang perlu ditangani dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, SOP tersebut perlulah merangkumi semua pihak dan peringkat termasuk perkara yang harus diteliti.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga perlu menyediakan Premis Perlindungan Sementara kepada mangsa seperti langkah yang diambil Perancis.

“Urusan tersebut dikategorikan sebagai sebahagian daripada perkhidmatan penting sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

“Rata-rata di seluruh dunia, peningkatan keganasan rumah tangga telah dilaporkan sejak berlakunya pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP serta perintah berkurung.

“Selain itu, sumber-sumber lain yang ada, perlu dipastikan bahawa ianya mencukupi supaya pihak berkuasa kerajaan boleh memberi tindakan segera atau tindakan kecemasan yang berkesan ketika PKP ini dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Aiman Athirah yang juga Ahli Dewan Negara mencadangkan agar akses kepada pengaduan tentang keganasan rumah tangga, diperbaiki.

“Memperbaiki dan mempermudahkan akses kepada laporan yang bakal dibuat mangsa jika berlaku kecemasan berkaitan keganasan rumah tangga.

“Penggunaan kod tertentu yang digunakan di beberapa negara luar, barangkali boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia.

“Dalam hal ini, kerajaan juga perlu memastikan bahawa setiap mangsa keganasan rumah tangga menerima Bantuan Prihatin Nasional (Prihatin) yang sewajarnya,” katanya lagi.

Semalam, warganet dilihat tidak sependapat dengan nasihat yang diberikan Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menerusi satu video di laman Instagram beliau.

Dalam video berdurasi 5 minit 18 saat itu, Siti Zailah berkongsi dengan masyarakat tentang tips berhadapan tekanan dalam keluarga.

Menurut Siti Zailah, dalam suasana PKP pada hari ini, suasana dalam masyarakat dilihat semakin mencabar.

Namun, nasihat dan tips yang diberikan itu mendapat kritikan segelintir warganet yang melayari Instagram beliau.

Seorang warganet, terlebih dahulu memohon maaf atas perbezaan pendapat antara beliau dan Timbalan Menteri itu.

“Maaf Puan tapi saya rasa tak semua orang boleh guna nasihat yang Puan berikan. Nasihat Puan hanya dapat digunakan di rumah yang keluarga yang memang harmoni dan tiada keganasan rumah tangga.

“Kami risau tentang keselamatan keluarga yang cenderung menghadapi atau yang memang ada masalah keganasan rumah tangga. Mereka tiada tempat berlindung,” ujarnya dalam ruangan komen.