Malaysia Dateline

Xavier dihubungi menteri kanan diugut sokong PN, dakwa SU Agung PKR

Keputusan yang diumum YB Datuk Dr Xavier Jayakumar hari ini berikutan dakwaan PKR bahawa wujud usaha tersusun oleh kerajaan minoriti untuk menarik sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang dengan cara umpan dan ugutan menggunakan PDRM, LHDN dan SPRM.

Menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution perkara ini ternyata berlaku terhadap Xavier apabila beliau memaklumkan kepada pimpinan PKR bahawa pihak SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan setelah SPRM sebelumnya menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berkait satu kes yang sedang berjalan.

Saifuddin berkata Dr Xavier kemudiannya dihubungi seorang menteri kanan yang menyatakan beliau perlu menyokong Perikatan Nasional atau hadapi akibat yang serius.

“PKR sebuah parti reform – pendirian kami amat jelas dalam menentang rasuah, salahguna kuasa dan pelanggaran undang-undang tanpa mengira pangkat dan kedudukan,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya hal yang berlaku sekarang adalah, instrumen pemerintah termasuk SPRM sedang diperguna ahli politik kanan dalam pentadbiran Perikatan Nasional untuk mengalih sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pembangkang kepada Perikatan Nasional.

“Ini adalah satu bentuk salahguna kuasa, terutama tatkala kita sedar isu rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan pihak Perikatan Nasional seperti tidak diambil tindakan oleh pihak berwajib.

“Amatlah jelas kerajaan minoriti hari ini berlapik dengan alasan darurat dan menggantung Parlimen sambil pada masa sama berusaha mendapatkan sokongan lebih ramai Ahli Parlimen dengan cara menggunakan agensi-agensi tertentu melalui taktik umpan habuan, tekanan dan ugutan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, sebagai seorang yang lama mengenali Dr Xavier Jeyakumar Saifuddin berkata tindakan dan alasan-alasan beliau dalam kenyataan hari ini menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Namun yang membezakan reformis tulin dengan yang lain ialah tahan diuji pada masa senang dan sukar.

“Saya ulangi gesaan agar semua Ahli Parlimen PKR untuk kekal teguh dan istiqamah berpegang kepada prinsip dan landasan perjuangan reformasi tanpa tunduk dengan umpan habuan dan ugutan.

Justeru, katanya PKR dan Pakatan Harapan akan kekal dengan halatuju sekarang yakni terus mempertingkat persiapan menuju PRU15 dan pada masa yang sama berusaha mengembalikan mandat rakyat sesuai kerangka undang-undang dan perlembagaan.

Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar hari ini mengumumkan keluar parti dan menyokong PN selepas dua ahli parlimen Larry Sng Wei Shien dan Steven Choong Shiau Yoon berbuat demikian pada akhir Februari baru-baru ini.

Dalam kenyataan, Ahli Parlimen Kuala Langat itu yang menyertai PKR sejak 1998 berkata keputusannya berkuat kuasa serta merta.