Xi Jinping akan jumpa Kim Jong-Un di Pyongyang April ini

Xi Jinping akan jumpa Kim Jong-Un di Pyongyang April ini

Presiden China Xi Jinping akan membuat lawatan sulung ke Korea Utara April ini dan telah mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak, menurut sumber Parlimen Korea Selatan, lapor South China Morning Post.

“Pyongyang dan Beijing bersetuju untuk Xi melawat ke Pyongyang April ini,” kata seorang sumber yang rapat dengan Jawatankuasa Penyatuan dan Hal Ehwal Luar (Foreign Affairs and Unification Committee) di Seoul.

Korea Utara sebelum ini telah menjemput Presiden Xi beberapa kali – terutamanya untuk menghadiri sambutan Hari Kebangsaannya pada bulan September – walaubagaimanapun Xi masih belum memenuhi jemputan tersebut walaupun telah menjadi Presiden China bagi tempoh enam tahun.

Presiden Korea Selatan Moon Jae-in berkata pada bulan Oktober lalu bahawa Xi dijangka akan melawat Pyongyang “dalam masa terdekat”, selepas Kim membuat empat kali lawatan ke China.

Presiden China terakhir yang melawat Pyongyang ialah Hu Jintao pada tahun 2005. Xi pernah ke Korea Utara pada tahun 2008, tetapi atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden.

Sumber kedua mengatakan bahawa lawatan Xi akan bertembung dengan “Day of the Sun” pada 15 April, dimana tarikh ini merupakan salah satu tarikh penting Korea Utara terutamanya dalam menyambut kelahiran Kim Il-Sung, pengasas negara Korea Utara.