Ya boleh kerjasama kalau berpandu Quran dan Sunnah, kata Hadi

Ya boleh kerjasama kalau berpandu Quran dan Sunnah, kata Hadi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pendakwah perbandingan agama antarabangsa Dr Zakir Naik mencadangkan kerjasama Pas dan Umno berpandukan al-Quran dan as-Sunnah namun sesetengah pihak lupa terhadap syarat tersebut, kata presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, jika Umno mengikut al-Quran dan sunnah dalam pentadbriannya, Pas sedia untuk bermuzakarah.

“(Dr) Zakir (Naik) sebut (kerjasama) kena ikut al-Quran dan sunnah tapi orang lupa syarat itu.

“Ya, kalau Umno ikut al-Quran dan sunnah kita muzakarahlah,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan NGO’S peringkat kawasan Marang 2016 di Kampung Pasir Puteh, Marang Terengganu, semalam.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita sama ada Pas sedia bekerjasama dengan Umno jika parti Melayu itu mengamalkan al-Quran dan sunnah.

Ia rentetan daripada cadangan Dr Zakir Naik agar Pas dan Umno membentuk kerajaan campuran beberapa hari lalu.

Sementara itu, Abdul Hadi dalam kenyataannya hari ini berkata, pandangan perlu diamati kerana beliau juga menjadi pemerhati politik yang peka terhadap umatnya dan menunjukkan beliau tidak memisahkan politik daripada agama dan dakwah.

“Beliau bukan sahaja memahami perbandingan agama-agama dengan Islam, bahkan memahami perbandingan Islam dengan Ideologi.
“Oleh kerana itu beliau mencadangkan kerjasama PAS dan Umno berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah,” kata beliau.

Abdul Hadi berkata, Pas sudah lama meletakkan al-Quran, as-Sunnah bersama Ijmak Ulamak dan Qias yang menjadi rujukan tertinggi dalam Undang-Undang Tubuh (Perlembagaan) Pas (Fasal 5).

“Bagi merealisasikannya secara kenyataan Pas mewujudkan Majlis Syura Ulamak yang bukan hanya mengiyakan semua keputusan Pas Pusat, bahkan boleh membatalkannya sekiranya menyanggah hukum tertinggi,” katanya lagi.

Menurut beliau yang juga ahli parlimen Marang, Pas telah berjaya melaksanakan politik matang sejak dahulu sehingga sekarang, menjadikan parti itu tidak mencetuskan ketegangan dalam satu negara, satu ummat, satu bangsa dan satu masyarakat majmuk serta tidak terikut-terikut dengan parti-parti lain, termasuk parti Islam di luar negara.

“Mereka yang mengikut PAS secara tumpangan tanpa membaca sejarah dan menghayati dasar dan konsepnya, pasti terpelanting atau dicampak keluar daripada Pas,” tegasnya.

Selain itu katanya. Pas juga berpengalaman melaksanakan kerjasama dengan semua pihak, kumpulan Islam dan bukan Islam, bersama kerajaan dan pembangkang, diperingkat negeri dan pusat.

“Pas pernah meyertai persidangan AFRO ASIA bersama Umno dan beberapa perbincangan di zaman penjajahan dan Pas bersendirian selepas kemerdekaan, bersama kerajaan campuran pada tahun1973 dan bersama menubuhkan Barisan Nasional pada tahun 1974 dan menyertainya sehingga 1979.

“Semua pelaksanaan pendekatan tersebut dengan muzakarah para ulamak dan pimpinan di peringkat tertinggi mengikut perhitungan Islam dan politik. Kebiasaannya, pendekatan dan strategi dahulu tidak diulangi dengan cara yang sama, kerana perlu dipelajari segala kesilapan dan kelemahannya,” katanya.

TAGS