Yaasin4Aqsa demi pembebasan Masjid Al-Aqsa

Yaasin4Aqsa demi pembebasan Masjid Al-Aqsa

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama Markas Angkatan Tentera Malaysia melalui Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), melancarkan Program Bacaan Yaasin Sejuta Umat Demi Pembebasan Masjid Al-Aqsa (Yaasin4Aqsa), sebentar tadi.

Program Pra Pelancaran Bacaan Yaasin4Aqsa itu, telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bertempat di Masjid Khalid bin Al-Walid, KEementah.

Menurut kenyataan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Bahagian Hal Ehwal Awam – J7, program ini adalah satu medium tradisi di kebanyakan masjid menerusi kesyumulan ajaran Islam melalui amalan bacaan surah Yaasin yang telah menjadi kewajipan dalam memohon doa daripada Allah SWT.

“Menyedari hakikat ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah berkolaborasi dengan Mapim, Kolej Islam Darul Ulum (Kidu) dan Yayasan Restu dalam menjayakan program agama ini.

“Penghayatan makna keseluruhan 83 ayat surah Yaasin, akan memberi kekuatan solidariti umat Islam seluruh dunia agar memohon kepada Allah supaya terus memelihara umat Islam yang teraniaya.

“Dalam program hari ini, qariah turut didedahkan dengan ulasan surah Yaasin dan kesedaran mengenai kebangkitan ummah,” katanya.

Program ini turut dihadiri Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang mewakili Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Kenyataan itu turut memaklumkan, program pelancaran di peringkat kebangsaan pula akan diadakan secara serentak sama ada dalam dan luar negara pada Khamis, 4 April selepas solat maghrib.

“Pelancaran ini juga bersempena dengan sambutan Israq & Mikraj yang mempunyai kaitan dengan Masjid Al-Aqsa,” katanya lagi.

Dalam majlis sama, Tabung Infaq Al-Aqsa turut dilancarkan.