Malaysia Dateline

Yadim buat laporan polis nafi terlibat sumbangan pendidikan untuk pengislaman

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Sarawak menafikan penglibatan yayasan itu dengan program pengislaman sumbangan pendidikan kepada anak-anak bumiputera di kawasan Kapit, Kanowit dan Belaga.

Sehubungan itu Yadim telah membuat laporan polis di di Balai Polis Gita, Kuching pada 29 Januari lepas.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Media dan Teknologi Dakwah Yadim hari ini berkata, halaman Facebook Radio Nyawa Sarawak dan Sarawak Inside menyatakan yayasan itu terlibat di dalam jelajah di sekitar pedalaman Sarawak di kawasan Kapit, Kanowit dan Belaga dengan menawarkan RM 1000 untuk setiap anak bumiputera kepada ibu bapa dengan tujuan untuk mengislamkan mereka.

“Yadim menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai program seumpama itu sama ada telah dilaksana mahupun yang sedang dirancang untuk dilaksanakan di negeri Sarawak.

“Yadim beranggapan bahawa kenyataan seperti ini adalah berniat jahat dan bertujuan untuk menjejaskan imej Yadim dan agensi Islam yang lain,” ujar kenyataan itu,

Justeru Yadim turut mengajak orang ramai meneliti setiap penyebaran berita yang ditularkan di media sosial.

Ini kerana Yadim berpandangan berita seumpama itu boleh mengancam perpaduan dan keharmornian beragama di kalangan masyarakat khususnya di negeri Sarawak.