Malaysia Dateline

Yadim jawab isu surat kebenaran RSY dan RRY dari Kementerian Pendidikan

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) tampil menjelaskan berhubung penubuhan Rakan Siswa Yadim (RSY) dan Rakan Remaja Yadim (RRY) di Sekolah-sekolah dan institusi pendidikan dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, masyarakat khususnya yang bukan beragama Islam sewajarnya tidak perlu berasa gundah dengan surat yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan baru-baru ini.

Jelasnya, tindakan Yadim bertemu dengan Menteri Pendidikan secara rasmi serta surat daripada beliau kepada ketua-ketua jabatan menandakan ketelusan kerajaan dalam melaksanakan inisiatif mengikut prosedur yang sewajarnya, dan bukannya seperti pentadbiran sebelum ini yang melaksanakan keputusan tanpa melalui proses yang telus dan terbuka.

“Secara jelasnya surat yang ditularkan tersebut tidak pernah memaksa mana-mana pelajar sama ada Muslim atau bukan Muslim untuk menyertai inisiatif tersebut.

“Kehadiran RSY di IPT dan RRY di sekolah hanya akan menyuburkan lagi semangat kesukarelawanan, aktivisme dan kekitaan dikalangan mahasiswa.

“Yadim komited untuk menggalakkan dialog dan aktiviti silang budaya di kalangan anak muda melalui pelaksanaan RSY dan RRY ini kerana mereka adalah golongan penentu kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam surat bertarikh 2 Oktober lalu, surat berkenaan menyebut bahawa KPM membenarkan RSY menjalankan aktiviti dakwah di Sekolah, Institusi Pendidikan Guru Malaysia, Politeknik, Kolej Komuniti, Universiti Awam, dan beberapa Universiti swasta yang terpilih.

Surat berkenaan mendapat perhatian Peguam, Siti Kassim, yang mengkritik kelulusan penubuhan tersebut di laman sosial Facebooknya dengan kenyataan ‘Lagi Islamisasi /Dakwah dalam Institusi Pendidikan Kita’

Tuan Kamarul berkata, dialog dan aktiviti silang budaya yang terkandung dalam konsep ‘Li Taarafu’ yang dianjurkan dalam Islam akan melahirkan generasi muda Malaysia yang saling menghormati, meraikan perbezaan dan melihat kepelbagaian sebagai sumber kekuatan dan bukannya punca kelemahan sepertimana yang ditanggapi oleh golongan yang rasis dan Islamophobik.

Jelasnya, adalah mustahak bagi Yadim memberikan penjelasan agar tidak timbul syak wasangka dikalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia terhadap program yang dijalankan oleh Yadim.

“Penting penjelasan ini diberikan supaya persepsi Islamophobia yang cuba dimainkan oleh pihak atau individu yang hanya mahukan publisiti dapat dijernihkan, sekaligus tidak mengheret badan dakwah ini ke polemik picisan,” ujarnya.