YADIM seru Keadilan Asasi diberikan kepada Dr Zakir Naik

YADIM seru Keadilan Asasi diberikan kepada Dr Zakir Naik

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru agar prinsip Natural Justice (Keadilan Asasi) diberikan kepada pendakwah bebas, Dr Zakir Naik yang telah menyatakan kesediaannya untuk dibicarakan sekiranya diberi jaminan keselamatan dan keadilan.

Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, kesemua pertuduhan terhadap pendakwah bebas itu masih belum dibuktikan, malah terdapat beberapa cubaan pertuduhan telah pun digugurkan oleh pihak mahkamah.

Beliau berkata, tekanan berterusan yang diambil pihak berkuasa ke atas Dr Zakir Naik sejak dua tahun lalu, adalah satu bentuk pencabulan terhadap hak asasi manusia yang amat dikesali.

“Prinsip menjamin keadilan adalah salah satu daripada teras Maqasid Syariah yang telah diberi penekanan sama ada secara langsung seperti yang dinukilkan oleh Allamah Ibn Asyur atau tidak langsung seperti Jasser Auda.

“Jaminan keadilan bagi Islam adalah satu teras yang wajib dipertahankan sungguhpun kepada bukan Islam kerana konsep Rahmat dalam Islam melangkaui sempadan agama, bangsa dan negara.

“Justeru atas sifat keadilan, hak asasi manusia dan integriti perundangan yang menjadi antara teras kepada konsep Rahmatan dalam Islam, YADIM berpandangan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam isu pendakwah bebas itu, wajib dipertahankan segenap lapisan masyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Nik Omar berkata, pihaknya meyakini seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan, sebaliknya adalah sesuatu yang wajar dihayati dan dipertahankan semua pihak yang menjunjung tinggi konsep kedaulatan undang-undang dan kerahmatan sejagat.

Sebelum ini, Dr Mahathir menegaskan Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya, selepas Kerajaan India dilihat begitu terdesak untuk menahan Dr Zakir atas tuduhan penggubahan wang haram di India.

Pendirian itu ditegaskan Dr Mahathir selepas mengambil kira tindakan Kerajaan Australia yang sebelum ini tidak menghantar pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang kini ditahan di sana.