Malaysia Dateline

Yakin ada unsur rasuah, Pejuanita buat laporan polis terhadap Hamzah

Sayap Wanita Pejuang Tanah Air membuat laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Ketua Pejuanita (Penaja), Datin Che Asmah Ibrahim berkata, laporan dibuat susulan dakwaan Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa wujud penyalahgunaan kuasa oleh menteri kerana campur tangan dalam urusan pelantikan jawatan tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Che Asmah berkata, sekiranya perkara itu benar, maka ianya akan menggugat keseluruhan struktur urustadbir keselamatan negara yang menjadi tanggungjawab PDRM.

“Demi kepentingan keseluruhan rakyat Malaysia dan kaum wanita khususnya, saya membuat laporan ini untuk memohon supaya kandungan kenyataan Abdul Hamid disiasat sepenuhnya dan tindakan sewajarnya diambil demi menjaga kepentingan keselamatan rakyat Malaysia, kaum wanita dan kanak-kanak khususnya.

“Saya percaya penyiasatan berkemungkinan menjurus dengan jelas kepada penyalahgunaan kuasa dan campur tangan politik dalam urustadbir di bawah kawalan bekas Ketua Polis Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Asmah berkata, berdasarkan penelitian video dan kenyataan sidang akhbar rasmi yang dibuat Abdul Hamid, beliau bimbang jika wujud unsur-unsur salah guna kuasa, rasuah dan campur tangan pengaruh politik bagi kepentingan peribadi individu-individu tertentu dalam Kerajaan PN-BN hari ini.

Susulan pendedahan Abdul Hamid pada 30 April lalu, beberapa laporan polis telah dibuat dengan yang terbaru, pemuda Pakatan Harapan dilaporkan akan membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.