Yakin pelantikan Abdul Malik majukan industri nanas

Yakin pelantikan Abdul Malik majukan industri nanas

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya yakin Pengerusi baharu Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Abdul Malik Abul Kassim dapat memajukan industri nanas tanah air.

“Saya yakin dengan kemampuan Datuk Abdul Malik untuk menerajui LPNM dan seterusnya dapat menjadikan LPNM sebuah organisasi yang terus ke hadapan dan memainkan peranan untuk memajukan industri nanas negara yang kian berkembang pesat dan kini menjadi salah satu tanaman penting dalam negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata, LPNM perlu terus komited dan mengambil peluang serta potensi yang terbuka luas dalam industri nanas yang mendapat permintaan tinggi terutamanya untuk pasaran eksport sekali gus memberikan pendapatan yang lumayan kepada pekebun dan pengusaha terlibat.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini, pelantikan Abdul Malik selaras dengan kuasa yang diberi di bawah Seksyen 3(2)(a) Akta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia 1957 (Akta 427).

“Pemilihan itu dibuat setelah mengambil kira semua faktor termasuk pengalaman yang dimiliki yang pernah menggalas jawatan sebagai Exco kerajaan negeri Pulau Pinang dan bekas ADUN Batu Maung sebelum ini,” dipetik dari kenyataan itu.

Pelantikan Abdul Malik, 65, untuk jawatan di agensi itu berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Beliau juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Ahli Mesyuarat Majlis Universiti Islam Malaysia.

Abdul Malik sebelum ini memegang beberapa jawatan penting dalam pengurusan perniagaan meliputi pelbagai tahap dari pengurusan syarikat kecil, sederhana hingga ke multinasional.

 

Salahuddin menyampaikan watikah pelantikan Abdul Malik di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini.