Yakin pengundi Sadong Jaya bijak memilih, kata calon Amanah

Yakin pengundi Sadong Jaya bijak memilih, kata calon Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Berbaki dua hari berkempen sebelum pengundi Sarawak menunaikan tanggungjawab mereka, calon Amanah bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sadong Jaya, Ustaz Othman Mustafa, 61, yakin rakyat semakin bijak membuat pilihan.

Menurutnya, tindakan BN melarang isu-isu nasional seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada dibangkitkan sepanjang tempoh berkempen dilihat hanya meremehkan hak rakyat Sarawak.

“Sudah tentu kesan buruk GST terpalit pada seluruh rakyat tidak terkecuali penduduk di Sarawak. Bagaimana BN boleh menganggap kesan cukai enam peratus itu tak berkaitan dengan kos sara hidup rakyat di negeri ini?” soalnya ketika ditemui di Pusat Operasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Amanah Dun Sadong Jaya, malam tadi.

Mengulas penyertaan Amanah buat julung kalinya dalam pilihan raya tidak sampai setahun usia penubuhannya, Naib Pengerusi Amanah Sarawak itu menganggap langkah memperkenal parti Islam tersebut diberi penekanan sejak hari pertama kempen lagi.

“Tak kenal maka tak cinta. Alhamdulillah, masyarakat tempatan semakin celik dengan kewujudan Amanah. Ramai yang datang pada kita minta diberi t-shirt Amanah. Nampaknya warna oren menjadi tarikan yang kuat dan lebih menonjol berbanding warna rasmi parti lain.

“Sepanjang bergerak (kempen) dari Jaei, Iboi dan Pelandok, kita banyak menerima maklum balas positif daripada akar umbi,” jelasnya yang merupakan graduan Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang Usuluddin, Akidah dan Falsafah (1981 – 1985).

Belenggu kemiskinan

Kerajaan BN masih gagal menyelesaikan isu prasarana daan bekalan air bersih di kawasan Sadong Jaya.Ditanya tentang masalah utama dialami penduduk setempat, Ustaz Othman memberitahu isu paling ketara adalah membabitkan soal kemiskinan serta pengabaian prasarana asas.

“Majoriti penduduk di Sadong Jaya berpendapatan rendah. Mereka buat kerja kampung, bertani dan menangkap ikan di pesisir pantai. Jumlah pendapatan yang mereka peroleh tidak munasabah dengan kos hidup yang kian meningkat,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, katanya, banyak nama ketua isi rumah yang dalam kategori miskin dan miskin tegar masih belum masuk dalam senarai e-Kasih (pangkalan data kemiskinan nasional). Kebajikan nelayan tradisi pula umumnya gagal diperjuangkan persatuan terbabit.

“Apabila bercakap soal isu bekalan air bersih, bukan satu hal yang pelik bagi kebanyakan penduduk Sarawak masih bergantung pada curahan hujan sebagai sumber air mereka. Pemberian tangki 1Malaysia pula bukan semuanya dapat,” ujarnya yang pernah muncul calon tunggal Pas di Parlimen Batang Sadong pada 1999.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan berusaha mengembalikan hak rakyat Sarawak khususnya masyarakat setempat di Sadong Jaya jika 6,749 pengundi memberi peluang kepadanya ketika pembuangan undi Sabtu ini.

“Politik pembangunan memang diketahui jadi modal untuk BN terus bernyawa. Bagi saya, kita mesti berhenti beri gula-gula kepada rakyat.

“Apa yang mesti dibuat kita perkukuhkan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana). Pemberian pinjaman melalui AIM (Amanah Ikhtiar Malaysia) setakat ini belum cukup berkesan membantu peserta terlibat meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat.

“Bukan sedikit orang kampung yang dapat wang AIM tapi kemudiannya tak mampu lunaskan pinjaman dibuat dalam tempoh ditetapkan. Kita perlu fikir dan laksanakan pelan jangka panjang,” tambahnya lagi yang merupakan anak jati Kampung Jemukan, Sadong Jaya.

Ustaz Othman bakal menentang penyandang dari BN melalui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Ir Aidel Lariwoo yang memperoleh majoriti 2,934 undi pada PRN 2011.

PBB di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan yang juga Pengerusi BN negeri bertanding di 40 kerusi.

Untuk rekod, Dun Sadong Jaya antara 13 kerusi yang ditandingi Amanah dengan pertembungan empat penjuru di antara BN, Pas dan calon Bebas.

TAGS