Malaysia Dateline

Yakin prestasi baik semua MP, AMANAH umum bertanding di Bandar Tun Razak

AMANAH Bandar Tun Razak mengumumkan hasrat untuk bertanding di kerusi panas kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mewakili Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Ir. Hayatul Kamil dalam satu kenyataan hari ini berkata, hasrat tersebut susulan penyandangnya kini Datuk Kamarudin Jaafar mewakili PKR telah melompat menyokong kerajaan Perikatan Nasioal (PN).

Ir. Hayatul Kamil

Hayatul berkata, semua gerak kerja telah dilakukan untuk menghadapi PRU-15 dan menarik penyokong terutamanya penduduk di sekitar Bandar Tun Razak melalui pelbagai program menyantuni rakyat B40 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“AMANAH percaya dengan rekod semua ahli parlimennya yang menunjukkan prestasi baik dan berintegriti tidak melompat parti.

“Ia boleh mendapat kepercayaan rakyat di Bandar Tun Razak untuk memberi undi yang lebih tinggi kepada PH terutama AMANAH pada PRU akan datang,” tambah Hayatul lagi.

Pada PRU-14, Kamaruddin menang dengan 41,126 undi, menewaskan pencabarnya, calon Barisan Nasional (BN), Adnan Seman (21,196 undi); dan calon Pas, Dr Rosni Adam (7,884 undi).