Malaysia Dateline

Yakini proses, beri masa kepada Pakatan Harapan

Setahun yang lalu, dengan kuasa yang ada di tangan, rakyat Malaysia bersatu hati mencipta sejarah membuat keputusan yang mengejutkan bukan sahaja kepada kerajaan terdahulu tetapi juga masyarakat dunia apabila mengundi memilih Pakatan Harapan (PH) yang sekali gus mengubah landskap politik negara yang berusia 60 tahun.

Meskipun keadaan bercampur-aduk yang mengiringi gabungan parti politik itu, namun tidak diragui kerajaan Pakatan Harapan bermula dengan langkah yang betul apabila menumpukan kepada usaha memenuhi tuntutan dan kehendak rakyat dengan mengurangkan kos hidup apabila menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan, memerangi rasuah dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

Walaupun sering melemparkan kritikan terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14, namun rakyat Malaysia dan kerajaan baharu itu sendiri langsung tidak menyedari bahawa gejala rasuah itu sebenarnya telah semakin membarah dan menyusup ke dalam pelbagai agensi serta jabatan kerajaan menerusi penyalahgunaan kuasa politik.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan baru-baru ini bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya mengurangkan rasuah di negara ini sebanyak 90 peratus sejak mereka mengambil alih pentadbiran Putrajaya tahun lepas.

Bagaimanapun, kerajaan masih lagi dalam usaha membongkar senarai salah laku yang seolah-olah ‘tiada penghujungnya’ melibatkan kerajaan sebelum ini yang jelas merupakan kleptokrasi luar kawalan tanpa sebarang sekat dan imbang kerana takut dan ugutan, dedahnya.

Jika bukan kerana rakyat Malaysia menggunakan “kuasa rakyat,” hutang negara mungkin akan berganda atau malahan meningkat tiga kali ganda daripada RM1 trilion yang dikesan selepas 9 Mei, yang seterusnya menimbulkan persoalan menakutkan sama ada — seperti syarikat yang disalah urus atau rasuah — adakah Malaysia boleh jatuh muflis

Tetapi mujurlah dengan tindakan pantas kerajaan pakatan baharu, perkara itu dapat dielakkan.

Kerajaan menghalang ia daripada berlaku dengan mencantas projek-projek meragukan pada kos yang sangat tinggi yang diberikan oleh pentadbiran terdahulu dan pada masa yang sama memulakan projek lain pada kos yang lebih rendah susulan rundingan semula malahan dengan kuasa ekonomi besar dunia seperti China.

Setakat ini, sejumlah 121 projek infrastruktur bernilai RM13.93 bilion di seluruh negara yang ditawarkan melalui rundingan langsung dan tender terhad oleh kerajaan terdahulu telah dirundingkan semula, membawa kepada penjimatan sebanyak RM809.55 juta.

Ini tidak termasuk projek mega seperti projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang bernilai RM31.65 bilion dan Mass Rapid Transit 2 (MRT2) sebanyak RM39.35 bilion, apabila kerajaan berjaya mengurangkan kosnya, masing-masing kepada RM16.63 bilion dan RM30.53 bilion, penjimatan tambahan sebanyak RM23.84 bilion kepada dana negara.

Pelaksanaan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang termasuk penjajaran semula projek landasan berkembar membawa kepada pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion kepada RM44 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion di bawah rejim sebelum ini.

Projek seperti Saluran Paip Pelbagai Produk, Saluran Paip Gas Sabah dan satu lagi saluran paip yang menghubungkan Melaka dengan kilang petrokimia dan penapisan Petronas di Johor telah dibatalkan.

Kerajaan Pakatan Harapan telah menghentikan banyak projek sedemikian disebabkan berlakunya banyak rasuah dalam perjanjian, termasuk bayaran pendahuluan yang berlebihan untuk kerja-kerja yang belum dilakukan.

Tidak kurang pentingnya langkah yang diambil oleh Pakatan Harapan melalui peruntukan berbilion ringgit untuk menyelamatkan ribuan keluarga pemegang saham dalam Felda yang mungkin tidak sedar mengenai kedudukan kewangan dan penyalahgunaan dana agensi pembangunan tanah itu, selain memulihkan Tabung Haji.

Oleh yang sedemikian, rakyat Malaysia perlu mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai apa yang telah dicapai oleh kerajaan Pakatan Harapan setakat ini walaupun menghadapi cabaran yang besar dan keadaan kewangan kerajaan yang mereka warisi.

Ini dapat dilaksanakan walaupun Kabinet hanya mempunyai beberapa menteri yang berpengalaman dan pakar kewangan seperti bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, yang secara keseluruhannya, telah melakukan tugas dengan baik — terutamanya dalam membetulkan keadaan berbanding rejim kleptokrasi yang mentadbir Malaysia di bawah pentadbiran sebelum ini.

Bagi dunia perniagaan, pembetulan kepada persepsi negatif adalah penting untuk memulihkan keyakinan pelabur dan meletakkan semula Malaysia dalam lingkungan destinasi pelaburan menarik, yang mana pada jangka panjang akan menjana pendapatan, mengembangkan ekonomi di samping mewujudkan pekerjaan yang amat diperlukan rakyat Malaysia.

Malah setakat ini di sebalik kenyataan dilemparkan pihak yang menyelar kerajaan Pakatan Harapan, khususnya mereka yang tidak lagi meraih manfaat atas kesetiaan buat tuli kepada regim rasuah sebelum ini, kini bukan masanya bagi kerajaan pimpinan Dr Mahathir untuk berada selesa.

Barisan kepimpinan kerajaan seharusnya berusaha menjadi lebih baik dan mempertingkat kerja mereka.

Daripada hanya terus membincangkan mengenai skandal 1MDB, lebih baik menumpukan lebih banyak dasar berorientasikan tindakan untuk dilaksanakan segera demi menangani isu pendapatan yang menjejaskan kehidupan rakyat, selain kos sara hidup yang tinggi, seperti yang diharapkan oleh rakyat ketika mengundi kerajaan semasa.

Kerajaan berada di landasan tepat berkaitan perkara itu apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi kenyataan dengan berkata: “saya kini mahu menumpukan kepada rakyat, tidak terlalu banyak kepada projek mega. Saya sudah penat dengan kemelut 1Malaysia Development Bhd (yang gagal sama sekali).”

Beliau berkata usaha yang diperlukan ke arah menyediakan keperluan rakyat telah bermula dan boleh diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020 tahun ini.

Rakyat Malaysia pula tidak seharusnya menyerah dalam menggapai impian Malaysia lebih baik sejak bermula pada 9 Mei tahun lepas, yang boleh dicapai sekiranya semua lapisan rakyat bersatu selain bersabar dan yakin dengan proses kerajaan Pakatan Harapan.

Seluruh rakyat perlu beringat bahawa kerajaan yang diundi merupakan pakatan baharu yang bekerja dalam gabungan yang tidak pernah dibentuk sebelum ini dalam mengharungi cabaran besar, sewajarnya Pakatan Harapan diberikan lebih banyak masa untuk memenuhi harapan besar rakyat.- BERNAMA