Yaman: Isu kemanusiaan menjadi keprihatinan

Yaman: Isu kemanusiaan menjadi keprihatinan

Semasa rencana ini ditulis apabila membaca lawan sesawang Middle East Eye pada 20 Jun melaporkan bahawa tentera Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah menguasai lapangan terbang Hodeidah dari Houthi, komander mereka mengatakan bahawa ini merupakan langkah utama mereka menguasai bandar pelabuhan Laut Merah. Maka teringat pula apakah yang akan berlaku kepada penduduk di sana?

Adakah bandar pelabuhan Hodeidah ini akan menjadi seperti Raqqa, Mosul Barat atau Allepo Timur apabila tentera daratnya masuk selepas serangan udara dilancarkan oleh jet pejuang yang menghancurkan segala-galanya.

Walaupun laporan cenderung kepada pakatan Arab Saudi-UAE dukungan AS, laporan pihak Houthi pula memgatakan mereka masih bertahan namun dapatlah dibayangkan di mana ihsan dan kemanusiaan pihak tentera yang sanggup membunuh semasa umat Islam pada bulan Ramadan dan awal Syawal ini.

Berita mengenai sengketa Yaman ini seolah-olah diabaikan atau tidak dipedulikan media Barat arus perdana. Tetapi laporan media tempatan yang menanyakan sejauh manakah penglibatan tentera Malaysia dalam serangan pakatan Arab Saudi-UAE membuka mata rakyat tempatan untuk mengetahui perkembangan di Yaman.

Kenyataan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu bahawa kerajaan Malaysia sedang mengkaji semula penghantaran tenteranya ke Arab Saudi untuk mengelak terlibat dengan konflik di negara-negara Teluk amat tepat.

Tegas beliau, “buat apa kita terlibat menyerang Yaman, sebuah negara Islam dan kita tidak mahu terlibat dengan konflik sebegini.
Langkah ini bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali dan kita sedang kaji dan kemungkinan akan tarik balik tentera kita dari sana kerana kita mahu kekal sebagai negara berkecuali,” katanya.

Mohamad menjelaskan Malaysia tidak harus terlibat dengan konflik Arab Saudi dan negara-negara Teluk berkenaan, apatah lagi apabila ia melibatkan serangan ke atas sebuah negara Islam.

Serangan ke atas Hodeida boleh membawa kepada malapetaka kemanusiaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bimbang kerana kesannya melibatkan penduduk Yaman yang bergantung kepada penyaluran bahan makanan daripada pelabuhan tersebut.

Hodeida, bandar dengan jumlah penduduk sekitar 600,000 orang yang terletak di pantai laut Merah Yaman. Ia adalah bandar pelabuhan yang merupakan hub penyaluran bekalan makanan, minyak dan ubat-ubatan kepada seluruh bahagian utara Yaman. Sekiranya hub penyaluran bekalan ini musnah, ibu negara Yaman iaitu Sana’a akan menghadari kebuluran dan letusan wabak penyakit.

Bandar pelabuhan ini juga adalah entri kepada 70 peratus bekalan makanan dan perubatan kepada lapan juta penduduk Yaman yang dikatakan PBB di ambang kebuluran dan daripada 22 juta yang memerlukan bantuan kemanusiaan dengan segera.
Inilah agaknya kenapa pakatan Arab Sauid-UAE melancarkan serangan ke atas Hodeida yang bertujuan melumpuhkan Sana’a dan menjatuhkan pihak Houthi.

Ada beberapa perkara yang bermain di fikiran, apakah kepentingan kepada Arab Saudi-UAE sehingga sanggup melumpuhkan bekalan makanan dan bahan lain yang boleh mecetuskan malapetaka kemanusiaan itu?

Sejauh manakah sengketa di Yaman ini boleh menjejaskan kedaulatan Arab Saudi dan UAE misalnya. Yang peliknya apa yang penting bagi UAE sebuah negara Teluk yang kecil? UAE yang kekurangan tentera dikatakan mendanai tentera upahan dalam peperangan dalam menghadapi pihak Houthi dan tentera Ansar Allah.

Terdapat alasan bahawa dengan pihak Houthi bermazhab Syiah, pihak Iran akan campur tangan dalam sengketa di Yaman ini. Mungkin wujud pengaruh Syiah Imamiah tetapi ia tidak sedalam mana dan tidak seperti di Syria dan Iraq.

Mazhab Zaydiah amat rapat dengan ahli sunnah wal Jamaah. Campur tangan Iran adalah amat minimal di Yaman.
Oleh itu atas dasar kepentingan apa dan siapakah membuatkan pihak Saudi-UAE bermati-matian menyerang Hodeidah walaupun isu ini berpunca daripada konflik dalam antara beberapa pemimpin dan puak di Yaman.

Bayangkan sebuah negara Islam yang menjadi penjaga dua masjid suci Islam sanggup melakukan tindakan tidak berperikemanusiaan seperti ini?

Tidakkah ini sesuatu perkara yang tidak menepati semangat dan jiwa agama Islam, membunuh sesama umat Islam pada bulan Ramadan yang mulia, bulan diharamkan berperang dan bulan Syawal di mana umat Islam meraikan kemenangan berpuasa sebulan tiba-tiba malapetaka kemanusiaan di ambang pintu?

Namun terdapat psersaingan untuk menguasai Yaman terutama di wilayah Selatan antara UAE dan Saudi yang akan memburukkan konflik ini.

Apabila Saudi merampas Aden, Emirati atau UAE menyerang Hodeidah kerana tidak mahu ketinggalan Yaman dalam menguasai bandar-bandar di Yama.

Siapa yang untung sekarang daripada perebutan wilayah antara kedua negara Srab ini, AS dan negara Barat yang lain. Sesetengah laman sesawang dan berita online yang dibaca ada mengisahkan bahawa Pentagon ada memberikan maklumat risikan dan sokongan logistik melalui dron dan kelihatan kapal perang AS memantau kawasan berdekatan.

Memandangkan PBB menyuarakan keprihatinannya terhadap malapetaka kemanusiaan yang akan tercetus, AS, Britain dan Peranchis menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang akan berlaku ke atas Yaman.

Keprihatinan mereka penuh kepura-puraan tidak sampai melarang pakatan Saudi-UAE darpada menghentikan serangan. Ia dapat dilihat daripada bantahan AS dan Briitain terhadap desakan Sweden di Majlis Keselamatan PBB supaya Saudi dan UAE melancarkan gencatan senjata segera.

Ini dapat dilihat daripada kenyataan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yang menyatakan “Saya telah memberitahu para pemimpin UAE dan menjelaskan keinginan kita mengutarakan keprihatinan keselamatan sementara menjaga pengaliran bebas bantuan kemanusiaan dan import barangan keselamatan nyawa penduduk.” Tetapi Pompeo tidak melarang supaya serangan dihentikan.

Ini bukan kali pertama tempat awam disasarkan pihak sekutu tentera Arab Saudi.
Sebuah negara kecil dan miskin seperti Yaman menjadi sasaran pihak yang jauh lebih besar dan kaya menjadikan orang awam mangsa utama yang menderita teruk.

Dunia Barat berdiam diri dalam isu ini. Lebih menghairankan lagi negara-negara Islam juga berdiam diri dalam isu pembunuhan orang awam Islam di Yaman.

Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diharap dapat memainkan peranan meminta kerajaan Arab Saudi menghentikan serangan sedemikian ke atas sasaran orang awam.

Dalam isu ini, kerajaan sepatutnya menggunakan pengaruh “istimewanya” menasihati kerajaan Arab Saudi supaya tidak bertindak keterlaluan terhadap rakyat Yaman.

Oleh itu, Malaysia sepatutnya menggunakan pengaruh dan hubungan istimewanya dengan tentera dan kerajaan Arab Saudi dalam isu pengeboman kejam di Yaman. Kerjasama yang begitu erat hendaklah digunakan untuk kebaikan rakyat Islam Yaman yang sering diserang kejam.

Malaysia sepatutnya mendahului negara Islam lain bersuara dalam isu ini.

* Penulis adalah pensyarah di Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).