Malaysia Dateline

A Kadir Jasin

Yang dah dapat dua dos perlu lebih kebebasan bergerak

1. Di negara kafir Barat adalah perkara biasa Menteri pandu sendiri atau naik kereta api.

2. Tapi di negara mundur, Menteri dipandu ke hulu hilir dengan kereta mewah lengkap dengan pengawal peribadi. Yang kanan sikit ada outrider.

3. Tidak berapa lama dulu, di Malaya ini Perdana Menteri dan Menteri-menteri pakai kereta buatan dalam negeri. Sekarang tidak lagi. Boleh pakai sesuka hati. Jadi berlumba-lumbalah pakai kereta mewah dari luar negeri.

4. Tapi untuk rakyat jelata, di bawah syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan (entah apa), hanya seorang dalam sebuah kereta persendirian dan hingga tiga orang untuk ke PPV dan kecemasan.

5. Yang tak pandai atau tak boleh memandu kerana masalah kesihatan, usia, kecacatan atau sebagainya pandai-pandai sendiri lah macam guna pengangkutan awam. Kalau sanggup ambil risiko dikompaun bolehlah cuba merayu di sekatan jalan raya.

6. Menteri dan Timbalan Menteri yang seramai 70 orang itu tentulah tidak akan pandu sendiri. Sebagai orang kayangan mereka pun tidak perlu ikut sangat SOP. Kalau kena siasat pun keputusannya lambat dan denda tidak jadi beban sebab gaji dan elaun sakan.

7. Bila hanya seorang dalam sebuah kereta, lagi banyaklah kereta di jalan raya. Yang gembira adalah stesen minyak dan konsesi lebuh raya. Silap-silap harga petrol dan diesel naik pula.

8. Jadi bukan saja orang susah yang susah. Orang senang yang hendak agih makanan kepada orang susah pun susah sebab kena buat seorang diri.

9. Bagi orang yang sudah lengkap dua dos vaksin, tak ada maknalah kalau masih dipaksa pandu seorang diri atau dilayan macam orang yang belum divaksinasi atau belum lengkap dua dos.

10. Itu baru pasal penggunaan kenderaan. Entah apa lagi syarat PKP yang pelik dan menyusahkan orang ramai. Oleh sebab banyak sangat variasi PKP dan kerap sangat disambung-sambung, kita pun dah tak terdaya nak “keep track”. Misalnya berapa ramai orang hari ini tahu berkenaan mukim atau sempadan pentadbiran.

Demikianlah adanya. Terima kasih.