Malaysia Dateline

Yang darurat adalah kerajaan PN, bukan rakyat

Pihak yang berhadapan dengan darurat sebenarnya adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan rakyat negara ini yang sedang berlawan dengan Covid-19.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, kerana PN dalam daruratlah maka perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon pengistiharan darurat dari Yang Dipertuan Agong.

“Yang sebenarnya darurat adalah kerajaan PN. Mereka mula sedar mula hilang majoriti bila MP Umno mula tarik sokongan satu per satu.

“Mula-mula Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) semasa bajet 2021 lalu. Lepas itu Ahmad Jazlan (Macang). Kemudian Nazri Aziz (Padang Rengas) pula.

“Sekarang kerajaan hanya ada 109 selepas Grik meninggal. Kita (pembangkang) ada 108 selepas V K Liu (Batu Sapi) meninggal.

“Dalam hilang majoriti inilah, untuk terus memerintah dia minta istihar darurat,” kata Khalid menerusi Jom Channel, sebuah stesen TV internet malam tadi.

Bagi ahli parlimen Shah Alam itu, negara tidak perlukan darurat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah ada.

“Darurat ini sebenarnya nak kawal sidang parlimen dan sidang DUN agar jangan berjalan.

“Apa kena mengena dengan Covid-19. Sebelum ini, siap masuk sidang parlimen pakai PPE pun dibenarkan.

“Apa guna darurat selain nak capai kepentingan politik untuk Muhyidin kekal berkuasa,” kata beliau.

Bagi beliau, semua sudah tahu bahkan satu dunia sudah tahu bahawa kerajaan PN sekarang hilang majoriti.

Bagi Khalid, hujjah untuk mendapatkan katil dari hospital swasta untuk pesakit Covid-19 juga tidak memerlukan darurat kerana Akta Penyakit Bertjangkit boleh digunakan untuk mendapatkannya.