Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan Malaysia dan negara-negara yang dikenali sebagai negara Islam gagal membina kekuatan tanah air sebaliknya hanya mengutamakan kepentingan diri.
Ahli Parlimen Kota Raja berkenaan berpendapat nilai akhlak Islam pada masa ini bahkan terdapat dalam kalangan negara-negara bukan Islam seperti dibuktikan melalui langkah-langkah pemimpin mereka yang lebih berintegriti.
Menurutnya, pemimpin-pemimpin Islam pula sebahagiannya gagal mengamalkan keadilan sosial seperti ditekankan dalam agama.
“Kita sekarang ini tidak dibina kekuatan negara. Yang dibina kekuatan menteri dan wakil rakyat bukan kekuatan ummah.
“Lihat di negara-negara Arab. Pemimpinnya kaya-raya. Hampir semua negara Arab ada pangkalan tentera Amerika Syarikat untuk jaga keselamatan mereka.
“Bukan bina kekuatan sendiri. Sepatutnya dalam Islam kena bina kekuatan setakat yang kamu mampu untuk menggerunkan musuh Allah,” katanya dalam Jelajah Ceramah Isu Politik Semasa di Kampung Bharu kelmarin.
Mohamad berpendapat ramai yang keliru antara akidah dan akhlak Islam walaupun nilai
keadilan sosial sudah lama ditegakkan dalam pemerintahan Islam.
“Singapura berada di tangga ketujuh negara yang berakhlak Islam. Negara-negara teratas biasanya negara-negara Scandinavia (wilayah di utara Eropah).
“Yang selalu menyebut dalam ucapan-ucapan tentang keadilan dalam Islam ini ialah bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan.
“Di negara kita, yang selalu berceramah menyebut soal keadilan sosial dalam Islam, selalunya saya dengar (Datuk) Chua Jui Meng,” katanya.
Beliau turut menambah beberapa tindakan pemimpin bukan Islam yang menggambarkan tahap integriti dan sifat kebertanggungjawaban mereka yang tinggi.
“Perdana Menteri Norway (Erna Solberg) kena denda (ingkar SOP Covid-19) dan dia bayar.
“Ahli Parlimen yang juga menteri di England letak jawatan selepas lambat sampai di Parlimen menyebabkan soalan yang patut dijawab terlepas. Itu akhlak mereka,” jelas Mohamad lagi.
Turut memberi ceramah Setiausaha Agung AMANAH, Dr Mohd Hatta Ramli merangkap Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan; Pengerusi Mobilisasi AMANAH Nasional, Sany Hamzan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer; Pengarah Pilihan Raya Pemuda AMANAH Nasional, Asmaaliff Abdul Adam serta Ketua AMANAH Titiwangsa, Zaharudin Othman.