Malaysia Dateline

Yang kencing manis industri, yang dipotong kaki rakyat

Tajuk yang tertera menggambarkan secara ringkas begitulah cara kerajaan PN hari ini dalam menghadapi suasana covid 19 yang semakin membarah. Apabila rakyat mendesak kerajaan melaksanakan PKP semula, kerajaan seolah olah memenuhi permintaan rakyat dengan cara perasaan penuh dendam.

Rakyat disekat, hingga tidak mampu lagi menanggung kekurangan bekalan makanan, tetapi dalam masa yang sama kilang kilang besar dibenarkan beroperasi atas alasan kononnya ekonomi negara patut berjalan.

Padahal data covid yang meningkat hari demi hari adalah kerana kluster pekerja. Jika ini berlaku sampai bila rakyat akan menanggung kesan PKP ini? Airmata sudah terasa kering. Tidur malam pun hati sedang berdebar, bagaimanakah hari esok akan ditempuhi dengan memikirkan anak dan isteri.

Rasa kecewa bagi seorang bapa mula menekan. Rendah diri kerana tanggungjawab sebagai ketua keluarga telah runtuh menyembah bumi. Realiti yang dihadapi seolah olah tidak menampakkan jalan keluar bagi seorang bapa.

Para perantau yang bekerja di kota raya, contohnya dari Sabah dan Sarawak, buntu, duit takda, kerja tak boleh, sedangkan seharian hanya berada di bilik sekangkang kera yang disewa. Ruang untuk memasak di bilik sempit tidak ada, sedangkan mau membeli makanan, tidak bekerja dan tidak bergaji pula.

Kesengsaraan kini, bukan sahaja ditanggung oleh sesetengah golongan sahaja, malah mula makin menyeluruh.

Contoh seorang kontraktor yang dulu bergaya dengan tiga empat biji kereta, kini mula menjadi orang yang lebih miskin dari orang miskin. Komitmen ditanggung lebih beban dari apa yang ditanggung oleh rakyat bawahan.

Entah dari celah mana, entah bila detik ilham dicampakkan ke dalam hati seseorang, timbul idea ‘bendera putih’.

Ia seolah olah bagai sekelumit kecil sinar cahaya dihujung lorong gelap. Lega, bergeliga, nafas yang sesak mula terasa ada ruang untuk menghirup udara segar semula. Dengan linangan airmata, rezeki datang mengetuk halaman depan. Linangan airmata gembira. Mata anak anak mula bersinar cahaya.

Namun tidak disangka sangka, idea bendera putih yang dianggap jalan syurga bagi yang orang menanggung derita, rupanya dianggap sebagai lorong neraka bagi segolongan yang lain pula.

Idea bendera putih, bagi golongan yang derita, bagai segelas air bagi orang sedang dahaga tetapi kepada setengah golongan yang lain, ia bagai api yang sedang membara ingin membakar mereka.

Yang aneh, yang pelik, mereka yang bersuara sinis memperlekehkan usaha membantu orang yang sedang dalam derita ini, adalah orang orang yang di dalam dada mereka penuh dengan Quran Hadis dan konon berjiwa agama.

Kata mereka, jika susah janganlah meminta minta, tetapi angkatlah tangan dan berdoa. Tetapi bila diperhatitilik, golongan mereka inilah yang sumber kehidupan mereka adalah meminta minta.

Jika ada kuliah bulanan di surau surau atau masjid, sampul yang tebal disediakan kepada mereka. Ada rekod, jika sampul tidak berapa tebal, maka minggu depan pasti tidak hadir di surau tersebut, kononnya dijemput ke tempat lain (yang sampul lebih tebal)

Bukti ada di depan mata, kalau kuliah kuliah online di FB atau mana mana media sosial, pasti disertakan nombor akaun bank mereka.

Begitulah agaknya yang dimaksudkan oleh mereka, ‘jangan meminta minta cukup berdoa saja’. Kata kata mereka bagai ayam yang kokok berdegar degar ekor bergelumang tahi.

Sehingga artikel ini ditulis, angka Covid mula kembali naik kepada 7000. Entah berapa lama lagi rakyat perlu bertahan dengan PKP. Sedangkan kilang kilang masih dibenarkan beroperasi. Saban hari seorang demi seorang kaki rakyat dipotong, padahal yang kencing manis adalah kilang kilang.

Tetapi Alhamdulillah, sekurang kurangnya ia bagaikan satu universiti politik terbuka. Universiti terbuka ini sedang dalam semesta pertama. Mendidik rakyat betapa pentingnya memilih sebuah kerajaan yang berintegriti dan berdedikasi.

Jika nanti rakyat mampu menjadi graduan universiti terbuka ini dengan segulung IJAZAH KESEDARAN, maka Malaysia mendatang pasti menjadi sebuah negara megah di mata dunia.


[Tulisan ini dibuat oleh penulis sebelum PKPD diisytiharkan untuk kebanyakan kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor – Editor]