Malaysia Dateline

“Yang mana mau ikut, Menteri Kanan atau Menteri Wilayah”

Masalah yang dihadapi Umno semakin parah. Pertembungan bukan sahaja berlaku di kalangan pemimpin mereka bahkan juga di kalangan menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sendiri.

Ketika Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan semua taman awam di negeri-negeri yang mendapat perintah PKP ditutup, Menteri Wilayah Wilayah Persekutuan Datuk Annuar Musa pula mengumumkan taman awam di Kuala Lumpur dibuka.

Dalam taklimatnya pada hari Khamis, 14 Januari, Ismail mengumumkan semua taman awam perlu ditutup di negeri-negeri yang mendapat perintah PKP termasuk Kuala Lumpur.

Ismail berkata, aktiviti sukan tidak berkumpulan seperti joging dan berbasikal boleh dibuat sepanjang PKP tetapi tidak boleh di taman-taman awam.

Namun sehari selepas itu, Jumaat 15 Januari, Annuar pula mengumumkan, semua taman awam di Wilayah Persekutuan termasuk di Kuala Lumpur akan dibuka sepanjang PKP ini.

Padahal semua taman awam di Kuala Lumpur termasuk di dalam kawasan merah ekoran wabak Covid-19.

Pada 13 Januari sebelum itu, para ahli parlimen di Kuala Lumpur memohon agar taman-taman awam dibuka untuk membolehkan orang ramai menjalankan aktiviti yang dibolehkan semasa PKP.

Ia berikutan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menutup semua taman awam di Kuala Lumpur sepanjang PKP.

Ini bermakna keputusan Ismail dan keputusan Annuar Musa sudah mengambil kira rayuan dari ahli parlimen Kuala Lumpur itu.

“Tolong buat SOP berdasarkan sains. Jangan buat SOP sesuka hati. Ada pengalaman sejak Mac 2020, kenapa masih tak ada pembaikan?” tanya netizen terhadap percanggahan arahan semasa PKP ini.

“Sekarang nak pakai yang mana, menteri kanan ke menteri Wilayah Persekutuan,” tanya Mohamad Jinnah pula ketika berkicau di twitter beliau mengenai hal ini.

Umno kini berpecah teruk sehingga Annuar Musa dipecat dari jawatannya sebagai Setiausaha Agung BN.

Ekoran itu, Annuar dan pekerja bawahannya termasuk Setiausaha Akhbar beliau menyerang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti.