Malaysia Dateline

Yang mana satu betul YB, untuk Palestin ke duit zakat

Bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Rahim ditanya, alasan manakah yang betul tentang wang lebih RM500,000 yang dijumpai di rumah beliau, wang untuk membantu rakyat Palestin atau wang zakat Umno untuk rakyat Baling.

Ini kerana, ketika debat beliau dengan Datuk Seri Mujahid Yusof kelmarin Azeez berkata, wang lebih setengah juta itu adalah wang zakat yang hendak dikeluarkan Umno kepada penduduk Baling.

“Wang itu baru saya ambil dari bank. Itu wang zakat Umno untuk penduduk Baling. Masa itu bulan puasa. Saya sebagai ketua bahagian simpan dahulu di rumah sebelum diagihkan,” kata Azeez menjawab soalan moderator bersama debat itu, Zulkifli Sulong.

Sebelum ini, Bernama pernah menyiarkan jawapan Azeez tentang wang yang dirampas oleh SPRM selepas menggeledah rumah beliau itu.

“Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, sebahagian wang tunai RM500,000 yang dirampas oleh SPRM dalam pemeriksaan di kediaman dan pejabatnya semalam adalah untuk digunakan bagi misi ke Gaza, Palestin,” lapor Bernama Radio melalui Twitternya pada Mei 2018 lalu.

Ekoran itu, ramai netizen yang tertanya, yang mana satu jawapan yang betul.

“Yang mana satu betul?” tanya Kahrul Hartimi melalui facebook beliau sambil mengepilkan jawapan Azeez sebelum ini sebagaimana yang dilaporkan oleh Bernama.

Ketika debat kelmarin, Azeez juga berkata, SPRM lama menggeledah rumah beliau kerana terpaksa mengeluarkan duit itu satu persatu dari dalam sampul surat kerana ia telah dimasukkan ke dalam sampul sebelum diagihkan kepada penduduk Baling.