Malaysia Dateline

Yang terpalit skandal menjijikkan pun dalam Kabinet PN, kata Naib Presiden Umno

Pemimpin Umno terus mempertikaikan kerajaan Pakatan Nasional (PN) apabila Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin mendakwa, mereka yang terpalit dengan skandal yang menjijikkan juga berada dalam Kabinet itu.

Disebalik janji untuk kerajaan yang bersih dan berintegriti, kata Naib Presiden Umno itu, ramai yang tidak berintergriti berada dalam Kabinet itu.

“Malah ada di kalangan mereka yang terpalit dengan skandal yang menjijikkan tetapi masih dilindungi dan diberikan tempat dalam kerajaan,” dakwa Khalid melalui facebooknya menjawab kenyataan bekas Ketua Ketua Hakim Negara Tun Hamid Omar agar memberikan peluang kepada kerajaan yang ada.

Tun Abdul Hamidmeminta supaya Umno, Pas, Bersatu dan parti-parti yang menyokong PN supaya bersatu teguh.

Bagi beliau, Tun Hamid wajarlah memahami perspektif kenapa Umno merasakan bahawa ia tidak mendapat agihan kerusi dengan adil.

Pertama, katanya, Umno dari awal telah menuntut agar parlimen segera dibubarkan untuk memberi laluan kepada satu pilihanraya.

Katanya, Umno hanya menukar pendiriannya setelah kedudukan politik Malaysia terus berkonflik kerana tindakan Tun Mahathir.

“Demi menyelesaikan kemelut tersebut, UMNO dan PAS memilih untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin semata-mata atas kepentingan nasional.

“Tanpa Umno dan Pas, Tan Sri Muhyiddin tidak dapat membentuk kerajaan. Justeru Umno adalah pendiri bersama kerajaan Perikatan Nasional dan bukan penumpang.

“Kerana itu Umno merasakan wajar untuk ia mendapat keadilan melalui tuntutan ‘proportionate’,” kata Khaled dalam kenyataan beliau.

Menurut Khaled, Umno ini adalah parti politik.

“Ia bukan ‘subordinate’ kepada PPBM atau Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Bagi Khaled, Umno tahu bagaimana beroperasi sebagai sebuah parti politik.

“Kami tahu apa tuntutan yang sesuai dengan sumbangan kami dalam membentuk kerajaan dan kenapa kami menuntut perwakilan yang ‘proportionate’.

“Kami mewakili kepentingan terbesar bangsa Melayu. Bukan blok Azmin dan bukan sesiapa,” katanya.

Beliau meminta agar Muhyiddin janganlah lupa bahawa hampir 35 peratus ahli Parlimen PPBM menang atas tiket UMNO.

Dan selainnya adalah mereka yang melompat dari mana-mana untuk mendapat jawatan, katanya.

PPBM, katanya, hanya menang 13 kerusi dalam pilihanraya lepas dengan undi popular yang sangat sedikit. Umno dan Pas pula menguasai 70 peratus undi popular Melayu, katanya.

Bagi beliau, kebimbangan Tun Hamid sepatutnya jangan ditujukan kepada Umno.

“Ia patut ditujukan kepada kualiti dan wibawa kabinet itu sendiri,” kata Khaled.

Ia berlaku bila 10 dari Menteri dari blok Azmin adalah mereka yang tidak menghormati mandat rakyat dan memperdagangkan jawatan Ahli Parlimen mereka untuk jawatan.

“Apakah itu sesuatu yang bermoral pada kaca mata Tun Hamid?” tanya Khaled.

Katanya, beberapa lagi yang dilantik dalam PPBM juga begitu.

“Mereka menang atas tiket Umno tetapi memilih jawatan dari wibawa. Apakah ini kepimpinan Melayu yang Tun Hamid absahkan,” tanyanya lagi.

Bagi Khaled, kerajaan hanya akan disegani dan diyakini dengan wibawa kabinetnya.

“Umno hanya melakukan tugas moralnya sebagai parti politik untuk menuntut representasi yang strategik dengan sumbangannya dan setelah memperkirakan keupayaan dan pengalamannya dalam melestarikan kepentingan bangsa Melayu.

“Tun Hamid berhak atas pandangannya. Saya sangat menghormati. Tetapi Umno tidak akan menikus sebagai parti politik apatah lagi sebagai suara orang Melayu,” katanya.