Malaysia Dateline

Yapeim dalam pemantauan JPM, kata Menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana agensi di bawah jabatan itu jika dikesan berlaku penyelewengan dalam pentadbiran.

Beliau berkata, ini termasuk Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang menguruskan puluhan cawangan ar-Rahnu yang menawarkan skim pajakan emas secara Islam di seluruh negara.

“Sekarang semua ada dalam fail untuk kita tengok di mana masalah-masalah yang timbul dan saya bagi jaminan segala perkara yang kita dapati ada penyelewengan sudah tentu kita tidak akan biarkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama masyarakat anjuran Pertubuhan Prihatin Rakyat Kelantan (PRiKEL) di sini, malam Rabu.

Pada 2015, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now) mendakwa berlaku penyalahgunaan dan penyelewengan dana Amal Jariah (Skim Potongan Gaji) serta pembaziran yang berlaku dalam Yapeim.

Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan antara pentadbiran kerajaan Persekutuan terdahulu dan kerajaan negeri dalam membincangkan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) kini tidak lagi berfungsi.

“Dasar kerajaan baharu melihat Mahkamah Syariah dalam kerangka yang lebih holisitik. Ia lebih melihat kepada intipati dari segi hakim, penguatkuasaan, infrastruktur dan lain-lain.

“Perkara-perkara itu adalah keutamaan kita, maka sekadar RUU355 itu belum menentukan bahawa mahkamah boleh diperkasakan,” katanya dilapor Bernama.

Mengulas tentang Guru Takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Mujahid berkata, pihaknya sedang merangka metode penilaian bagi menilai kembali kualiti tugas-tugas guru dalam bidang berkenaan.

“Sistem itu (metode penilaian) kita sedang buat dan bukan mudah kerana ada lebih 30,000 Guru Takmir dan Kafa, dan ada peperiksaan Kafa yang standard daripada kurikulum kita.

“Itupun kita perlu baiki juga bagi memastikan kualiti anak-anak kita yang belajar di (kelas) Kafa itu betul-betul sampai di tahap yang kita hajatkan,” katanya