YaPEIM nafi guna dana sumbangan amal beli simulator golf

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menafikan dakwaan sesetengah pihak agensi itu telah membeli simulator golf menggunakan sumbangan dana  amal daripada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abibullah Samsudin berkata simulator itu sebenarnya dibeli dengan pendapatan yang diperolehi daripada perniagaan anak syarikat yayasan itu.

“Kami tidak menggunakan sumbangan amal (untuk membeli simulator golf) kerana kami menjalankan perniagaan dan kami mempunyai sumber kewangan yang  digunakan untuk mengembangkan perniagaan.” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media hari ini,selepas menyampaikan bantuan pendidikan kepada mangsa tunggal kejadian lemas di air terjun Belukar Bukit di Hulu Terengganu Sabtu lepas, di mana lima ahli keluarganya terkorban.

Abibullah berkata simulator golf itu kini ditempatkan di tingkat sembilan YaPEIM di Petaing Jaya sebagai pusat rekreasi kerana bangunan itu akan dinaik taraf menjadi sebuah hotel empat bintang kelak.

Katanya, YaPEIM telah mengambil pendekatan menggalakkan aktiviti sukan termasuk golf dalam masyarakat melalui pembelian simulator kerana ia boleh digunakan pada bila-bila masa, tanpa mengira keadaan cuaca.

Pada 17 Disember, Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) dilaporkan mempertikaikan pembelian simulator golf dan mempersoalkan keperluan YaPEIM itu kerana ia telah dianggap sebagai membeli peralatan mewah.

TAGS