Malaysia Dateline

Yapeim peruntuk RM168,500 bantu golongan kurang berkemampuan di Melaka

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan RM168,500 bagi membantu 1,600 golongan kurang berkemampuan di Melaka menerusi program Inspirasi Ramadan di seluruh negeri pada tahun ini.

Anggota Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Mokhtar Ramli berkata, daripada jumlah itu, 1,000 orang merupakan penerima daripada golongan anak yatim dan selebihnya adalah pelajar miskin yang masing-masing menerima bantuan sebanyak RM120 dan RM70.

“Bantuan kepada penerima di Melaka melibatkan anak-anak yatim daripada 33 buah sekolah di 11 lokasi dan 150 keluarga miskin dari tiga lokasi di seluruh negeri ini.

“Kita harap bantuan itu akan dapat meringankan beban golongan sasar ini, dan ini merupakan program tahunan yang dilaksanakan YaPEIM sejak sekian lama,” katanya ketika berucap pada Program Inspirasi Ramadan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Tedong, Merlimau, pada Khamis.

Program berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Menurut Mokhtar bagi program Inspirasi Ramadan tahun ini, YaPEIM memperuntukkan RM2.5 juta untuk diagihkan kepada 14,000 penerima di seluruh negara, yang terdiri daripada anak-anak yatim, golongan asnaf dan golongan kurang berkemampuan.

Sementara itu, Adly ketika ditemui selepas perasmian program itu berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang dilakukan YaPEIM, kerana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban ditanggung masyarakat.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan peranan YaPEIM, kerana kita tahu yayasan ini dibangunkan bagi membantu ekonomi masyarakat Islam.

“Selain itu, YaPEIM juga memainkan peranan dengan meringankan beban golongan sasar melalui sumbangan sedekah daripada pencarum dan penyumbang di seluruh negeri serta penglibatan guru di peringkat Jabatan Pendidikan negeri,” katanya.- BERNAMA