“Yaquuluuna maalaa yaf‘aluun”

“Yaquuluuna maalaa yaf‘aluun”

Dalam suatu perbincangan nilai yang melibatkan beberapa orang sasterawan dan ilmuwan penting baru-baru ini apabila saya diminta memberikan pandangan, saya tiba-tiba teringat pada ayat-ayat akhir surah As-Syu‘araa’ yang selalu dirujuk itu, iaitu mengenai para penyair yang sesat dan berkelana tanpa tujuan di lembah-lembah yang hina (ayat 224-227).

Al-Quran dalam satu-satunya rujukan yang khusus kepada golongan seniman-sasterawan-budayawan memilih untuk menyebut istilah as-syu‘araa’, yakni penyair, sebagai mewakili golongan seniman-sasterawan-budayawan seluruhnya; dan menamakan surah (bab) tersebut juga dengan nama As-Syu‘araa’.

Saya menganggap ini adalah satu penghormatan yang besar kepada golongan seniman-sasterawan-budayawan, yang diberikan oleh Tuhan sendiri. Dan Tuhan memilih penyair sebagai golongan yang diistimewakannya dari kalangan seniman-sasterawan-budayawan itu.

Tetapi kenapakah Tuhan memilih untuk memberikan gambaran yang negatif kepada golongan ‘penyair’ yang diberi-Nya penghormatan itu? “Para penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat (ghawuun). Tidakkah kamu melihat mereka berkelana di lembah-lembah; dan mereka berbicara tetapi tidak mengerjakannya? Kecuali mereka yang beriman…” (dan seterusnya).

Saat itulah, dalam perbincangan itu, (setelah sekian lama saya berusaha memahaminya), saya tiba-tiba mendapat kefahaman mengapa Allah menggambarkan golongan seniman-sasterawan-budayawan itu begitu. Maksudnya dengan gambaran yang negatif – sesat, berkelana di lembah-lembah, dan, terutamanya, berbicara tetapi tidak berbuat (yaquuluuna maalaa yaf‘aluun).

Rupa-rupanya apa yang digambarkan oleh al-Quran itu itulah realitinya kebanyakan seniman-sasterawan-budayawan kita hari ini. Kebenaran bukanlah persoalan buat mereka. Dan mereka hanya berbicara. Kehebatan dan kecemerlangan mereka adalah pada ‘bicara’ mereka. Apakah mereka berbuat seperti yang mereka bicarakan itu atau tidak – itu bukan masalah mereka. Mereka hanya berbicara.

Yaquuluuna maalaa yaf‘aluun – tepat sekali seperti yang disebut al-Quran itu. “Mereka berbicara tetapi tidak mengerjakannya”. Dan ini dipersetujui dan diperakui oleh para ilmuwan yang hadir dalam perbincangan itu, yang menyifatkan pandangan mereka sebagai pandangan ‘profesional’.

Ah, apakah pandangan dan etika profesional itu tidak mengambilkira samada penulis itu berkata benar ataupun tidak? Asalkan kata-katanya itu indah dan cerita yang dibawanya itu menarik, maka dia dianggap bagus, walaupun pada realitinya penulis itu tidak pernah mempedulikan apa-apa yang diucapkannya.

Dalam suatu hantaran ke fesbuk pada 1 Ogos lalu saya bertanya: “Apakah seniman yang disanjung itu seharusnya seorang yang berkata benar atau boleh saja yang suka berbohong, ysng hipokrit, tak berpendirian, tak kenal kebenaran dan tak pedulikan kebenaran pun?’

Dan itulah – dalam perbincangan dengan beberapa sasterawan dan ilmuwan penting yang saya sebut tadi – saya jadi terkejut dengan sikap mereka yang dikatakan ‘profesional’ itu.

Sedangkan, tentunya tanpa mereka sedar, mereka sedang menunjukkan kepada saya akan kebenaran dan rasional mengapa Allah memberikan gambaran yang negatif terhadap golongan ‘penyair’, sebelum Dia menyebutkan beberapa pengecualiannya.

Bahawa memang ‘penyair’ itu begitu. Dipersetujui dan diperakui pula oleh para ilmuwan kita yang menyifatkan diri mereka ‘profesional’. Bahawa kebenaran itu tidak ada tempatnya dalam penilaian akademik.

Dan lebih mengejutkan saya ialah apabila mereka sendiri pun berhujah dengan hujah-hujah yang tidak benar, dan tidak munasabah. Tetapi oleh kerana masing-masing mempunyai topi akademik, saya pun menghormati mereka dan mendengar.

Namun, seperti saya sebut dalam satu hantaran lain di fesbuk selepas itu: “Saya tak mengapa kalau benda itu betul, benar. Saya boleh saja terima. Tetapi kalau berkata yang “tak benar”, sambil memakai topi akademik – yang mudah dikatakan susah dan sebaliknya, dan implikasinya… saya tak boleh terima. Kenyataan mesti dinyatakan.”

Dan saya menulis ini bukan hanya kerana lanjutan daripada perbincangan bersama beberapa sasterawan dan ilmuwan penting itu. Saya menulis ini kerana perkara “tidak mempedulikan kebenaran” (yaquuluuna maalaa yaf‘aluun) itu sudah menjadi satu fenomena masyarakat kita yang semakin menular, dan semakin merosakkan.

Hari demi hari masyarakat kita semakin menunjukkan pelbagai tanda-tanda kerosakannya, dan saya perhatikan kerosakan “tidak mempedulikan kebenaran” ini bukan hanya sekadar kerosakan, tetapi ia juga menjadi faktor kepada beberapa kerosakan lain lagi.

Dan seperti yang kita semua pun maklum, kerosakan “tidak berkata benar” atau “tidak mempedulikan kebenaran” ini sebenarnya sudahpun menular ke dalam pelbagai lapangan kehidupan kita hari ini. Dan saya pun menyentuh perkara ini hanya apabila saya terlibat di dalamnya dan ia melibatkan perkara seni-budaya, yang memang menjadi persoalan harian hidup saya kini.

Jadinya, apakah yang perlu kita buat? Tidaklah saya bertujuan untuk mengemukakan cadangan-cadangan apa yang perlu dibuat itu di sini. Saya sekadar hendak menyatakannya dahulu, supaya mungkin ada di antara kita yang berminat hendak berfikir mengenainya dan mencari jalan penyelesaiannya.

Ia memang tidak mudah. Maka ia memerlukan usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh. Tetapi siapakah yang masih berminat hendak mengikhtiarkan perkara ini bersungguh-sungguh pada ketika ramai budayawan dan ilmuwan kita sendiri pun sudah selesa dengan pakaian professional dan topi akademik mereka?

Wallaahu-ak’lam!