Malaysia Dateline

Yayasan Anti Rasuah P.Pinang sambut baik usaha SPRM buka kes lama

Cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuka semula beberapa kes lama yang melibatkan kepentingan awam tahun depan amat dialu-alukan.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia Pulau Pinang, Datuk Ong Chuan Jin ketika ditemui.

Ong Chuan Jin

Malah kata beliau lagi, usaha yang diambil oleh SPRM tersebut adalah baik bagi memberi keadilan kepada beberapa kes lama yang telah ditutup walaupun dikatakan mempunyai bukti jelas serta penyiasatan yang lengkap.

“Kita mengalu-alukan usaha yang akan diambil oleh SPRM untuk membuka semula kes-kes lama yang telah ditutup seandainya mempunyai bukti yang ketara.

“Yang pasti rakyat mahukan keadilan terserlah walaupun kes lama yang dilihat adanya beberapa keraguan sebelum ini.

“Kami di Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Pulau Pinang amat berharap adanya keadilan dan ketelusan sekiranya kes-kes lama dibuka semula, ” tegasnya.

Kata Ong lagi, rakyat kini tahu membezakan setiap kes yang diperkatakan lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kepimpinan politik.

Walau bagaimana pun tambah beliau, keadilan tetap menjadi keutamaan yang harus dinobatkan oleh semua penguasa termasuk SPRM.

“Rakyat amat benci sekiranya ada campurtangan ‘tangan ghaib’ dalam apa jua kes termasuk kes-kes sebelum ini.

“Oleh kerana itu para penguasa mesti meyakinkan rakyat bahawa dibawah kepimpinan Malaysia Baharu kini, terdapat prioriti dalam menegakkan keadilan tanpa melindungi mana-mana pihak termasuk pimpinan politik.

“Buktikan bahawa SPRM kini lebih ketrampilan, tegas dan adil serta tidak mengamalkan sikap ‘double standard’ sepertimana kerajaan terdahulu. sebaliknya tetap memberi pembelaan kepada semua golongan termasuk golongan rendah, marhaen maupun mereka yang menerajui kepimpinan negeri dan juga kabinet, ” jelasnya.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam kenyataannya dipetik berkata, suruhanjaya itu akan membuka semula dan menyiasat 10 kes lama membabitkan rasuah termasuk yang berprofil tinggi.

Katanya, terdapat banyak siasatan telah ditutup selepas ia dianggap sebagai ‘tiada kes’.