Malaysia Dateline

Yayasan CIMB lancar aplikasi bantu belia rancang kewangan

Yayasan CIMB baru-baru ini telah memperkenalkan aplikasi Be$MART, perancang dan panduan kewangan digital yang mesra pengguna untuk golongan belia.

Menurut yayasan itu, aplikasi ini adalah pelengkap kepada program celik kewangan Be$MART yang direka khusus untuk pelajar universiti, yang telah memanfaatkan 15,000 pelajar sejak dilancarkan pada 2016.

Be$MART membolehkan pengguna merancang kewangan mereka, dengan ciri-ciri seperti penjejakan belanjawan, pengemaskinian, transaksi berulang, matlamat termasuk pemberitahuan berjadual mengenai perbelanjaan bulanan dan bil-bil yang perlu diperjelaskan.

Ia mensasarkan sekurang-kurangnya 22,000 muat turun dalam tempoh setahun.

“Kami dengan sukacitanya memperkenalkan aplikasi Be$MART, yang menyokong Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan bagi melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan yang termaklum.

“Kumpulan sasar kami adalah golongan belia yang membentuk 45.4 peratus penduduk Malaysia. Sebagai pemimpin masa depan dan pembina negara, adalah penting untuk memperkasakan mereka mengenai penjagaan kewangan mereka sendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin dalam satu kenyataan hari ini.

Celik kewangan yang rendah di kalangan golongan muda Malaysia adalah sebab utama mengapa kes-kes kebankrapan semakin bertambah.

Di antara 2013 dan 2017, sejumlah 100,610 rakyat Malaysia telah diisytiharkan muflis, di mana 60 peratus merangkumi usia antara 18 hingga 44 tahun.

Berdasarkan kajian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada 2018, satu daripada tiga rakyat Malaysia mengaku tidak mempunyai tahap pengetahuan kewangan yang mencukupi, manakala 52 peratus penduduk mendedahkan, mereka tidak mampu untuk mengumpulkan walaupun RM1,000 bagi menghadapi saat-saat kecemasan.

Ini bertepatan dengan tujuan Be$MART direka iaitu maklumat dan tips kewangan yang sangat relevan dengan kehidupan seharian mereka pada hujung jari serta membolehkan rujukan cepat atau imbas kembali pada bila-bila masa, di mana sahaja, kata Hamidah.

Yayasan CIMB juga telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) dengan sembilan universiti baru-baru ini bagi melengkapkan pelajar mereka dengan kemahiran celik kewangan melalui program Be$MART.

Melalui MoU ini, yayasan berharap dapat melengkapkan 10,000 pelajar, terutamanya daripada komuniti B40 dengan kemahiran celik kewangan menjelang 2021.

Sejak pelancaran, program Be$MART telah menyaksikan peningkatan pengetahuan mengenai kewangan di kalangan penggunanya iaitu melebihi 150 peratus.

“Melalui sukatan proprietari Be$MART kami, hasrat Yayasan CIMB bukan sahaja untuk mewujudkan warisan belia yang serba lengkap dalam pengurusan kewangan yang bijak, tetapi yang paling utama, untuk menangani dan mengurangkan isu kebankrapan belia,” kata Hamidah.– BERNAMA