Malaysia Dateline

Yayasan Felda: Kajisemula gaji CEO, banding pemberhentian pekerja, saran Anak

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(Anak) berpandangan Peranan Yayasan Felda perlu dipertingkatkan sejajar dengan jumlah warga Felda yang kian membesar dan masalah kebajikan yang harus ditangani.

Anak bimbang dengan kedudukan Yayasan Felda seperti kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad semalam.

Presidennya Mazlan Aliman berkata, Felda perlu mengkaji semula peruntukan gaji yang dibayar kepada Ketua Eksekutif Yayasan Felda, berbanding mengambil langkah pemberhenti pekerja dan melaksanakan pemotongan gaji.

“Gaji CEO Yayasan Felda(RM54,000) wajar dikaji semula, namun, memberhentikan pekerja dan membuat pemotongan gaji adalah langkah tidak wajar.

“Ia bertentangan sama sekali dengan visi dan misi Yayasan Felda yang menjaga kebajikan warga Felda.

“ANAK kesal, kos pembiayaan Yayasan Felda sekitar RM10 juta(melalui Felda) dan keuntungan anak anak syarikat yang tidak seberapa, dijadikan isu.

“Walhal, Felda sedang dipersoalkan oleh peneroka dan Generasi Baru Felda; betapa lesunya program yang berorientasikan kebajikan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mengesahkan Felda yang berdepan skandal rasuah dan prestasi kurang memberangsangkan sayap syarikat senaraian awamnya, dilapor mengumumkan sebahagian daripada 68 pekerja Yayasan Felda akan dihentikan menjelang akhir tahun ini.

Perkara itu juga disahkan Pengerusi Yayasan Felda, Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

Justeru Anak mengesa Shahrir mendesak Kerajaan untuk mengotakan ekoran ‘kegagalan’ Felda Global Venture Sdn BHd (FGV) memberi pulangan kewangan kepada Felda.

“Puluhan ribu anak cucu peneroka akan memasuki sesi persekolahan 2018. Insentif khas mesti diberi bagi mempastikan kebajikan mereka seperti pakaian, peralatan sekolah dan yuran pendaftaran dapat di sediakan.

“Pelaksanaan GST, kos sara hidup yang meningkat dan pendapatan peneroka yang rendah; realitinya telah memberi impak dan meningkatnya kelompok ‘miskin’ dalam masyarakat Felda,” ujarnya.

Yayasan Felda ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah(perbadanan)1952, pada 26 september 1998. Mula beroperasi pada tahun 1999.

Penubuhannya adalah selaras dengan keprihatinan Kumpulan Felda terhadap tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat luar bandar, khususnya warga Felda.

Antaranya mewujudkan Skim bantuan Pendidikan Tinggi; Pusat Hemodialisis Felda;Program Khidmat Masyarakat dan:sumbangan tahunan melalui Felda Travel kepada Jemaah haji seperti bag, kain ihram dan pil vitamin.

Selama ini Yayasan Felda memperolehi sumber kewangan dari peruntukan Felda dan keuntungan anak anak syarikatnya.