Malaysia Dateline

Yayasan Khalifa UAE anjur iftar untuk pelarian

Kira-kira 1,000 pelarian dari pelbagai negara di sekitar Lembah Klang diraikan dalam majlis iftar anjuran Yayasan Khalifa bin Zayed Al Nahyan di sini malam ini.

Majlis itu dirasmikan Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Khalid Ghanim Alghaith, turut dihadiri tetamu dari pelbagai bangsa dan etnik seperti Rohingya, Syria, Yaman, Somalia, Afghanistan, Sudan dan Palestin.

Tetamu disajikan dengan pelbagai hidangan enak dari timur tengah.

Hadir sama Timbalan Ketua Misi UAE ke Malaysia, Nailofer Al Bastaki serta wakil dari Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan HUMANiTi Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diterajui bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar sebagai Presiden.

Majlis iftar itu diselaraskan Kedutaan UAE dengan kerjasama UNHCR dan HUMANiTi Malaysia, diadakan di Restoran Qasar Balqis, Ampang.

Bercakap kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Duta Besar Alghaith berkata ia acara pertama pada Ramadan ini, dianjurkan Yayasan Khalifa melalui kedutaan UAE di sini.

“InsyaAllah, kita akan teruskan sepanjang bulan ini, bukan sahaja melalui Yayasan Khalifa tetapi juga menerusi badan amal UAE yang lain,” katanya.

Tambah beliau: “Yayasan Khalifa memberi sumbangan besar untuk meringankan penderitaan pelarian di Malaysia. Bantuan kemanusiaan dilancarkan pada 2016 dan empat peringkat sumbangan telah dilaksanakan. Setakat ini, ribuan keluarga Rohingya dan banyak sekolah mendapat manfaat daripadanya.”

Selain Yayasan Khalifa Bin Zayed Al Nahyan, pertubuhan UAE lain yang turut menyumbang kepada rakyat di Malaysia termasuk Bulan Sabit Merah UAE, Yayasan Amal & Kemanusiaan Zayed Bin Sultan Al Nahyan, Yayasan Amal & Kemanusiaan Mohammed bin Rashid Al Maktoum dan Sharjah Charity International.

Sebelum ini, Yayasan Khalifa mengedarkan pakej bantuan berupa bungkusan makanan dan tilam kepada 1,000 keluarga Rohingya di Lembah Klang sebagai sebahagian program Bantuan Kemanusiaan untuk Pelarian Rohingya di Malaysia, dengan peruntukan sebanyak US$1 juta sejak 2015.

Yayasan Khalifa ditubuhkan Presiden UAE Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan pada Julai 2007 dan sehingga tahun lalu sejumlah US$1.206.000.000 telah disumbangkan untuk program bantuan kemanusiaan di seluruh dunia.- BERNAMA