Malaysia Dateline

Yayasan Perak saran Sekretariat Mahasiswa Perak jadi pengelola program mahasiswa

Pihak Yayasan Perak menyarankan Sekretariat Mahasiswa Perak (SMP) dijadikan sebagai badan yang diberi tanggungjawab secara sah untuk mengelola, menyelaras dan melaksanakan program-program berkaitan mahasiswa.

Pengerusi SMP, Khairol Najib Hashim berkata, SMP juga antara lain disaran untuk membuka pendaftaran kepada mahasiswa Perak di seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi menyebarkan maklumat program dan insentif yang disediakan Kerajaan Negeri.

Khairol Najib Hashim

Katanya, SMP juga diberi peranan untuk menyelaras pertubuhan atau persatuan Mahasiswa Perak di seluruh IPT dan bertindak sebagai penghubung antara Mahasiswa Perak dan Kerajaan Negeri melalui program-program yang dijalankan seperti persidangan Ahli Majlis SMP yang diadakan baru-baru ini.

“Dalam Majlis Pentauliahan Ahli Majlis SMP sesi 2019-2020 yang diadakan pada 27 September lalu, kami telah melantik Ahli Majlis mewakili 23 IPT dalam negara bagi kumpulan pertama.

“Kami juga sedang mengenal pasti calon-calon Ahli Majlis mewakili IPT yang belum dilantik bagi pentauliahan kumpulan kedua. Calon-calon Ahli Majlis ini dicadangkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) di IPT masing-masing kepada SMP.

“SMP mengakui terdapat beberapa kumpulan mahupun pertubuhan mahasiswa yang dibentuk dan digerakkan oleh pelbagai pihak.

“Sebagai makluman, kami tidak mempunyai autoriti untuk menghalang dan menyekat mana-mana persatuan dan pertubuhan untuk bergerak dan beraktiviti. SMP adalah organisasi rasmi yang diberi mandat oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menguruskan hal berkaitan mahasiswa di negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Khairol memberitahu, penubuhan SMP adalah cetusan idea dan perbincangan bersama beberapa pihak antaranya pensyarah universiti, aktivis mahasiswa, sukarelawan, Yayasan Perak dan pimpinan Kerajaan Negeri bagi membina platform untuk Mahasiswa Perak mengikut tatacara yang dibenarkan.

“Hasil daripada perbincangan tersebut, pihak Yayasan Perak, sebuah agensi di bawah Kerajaan Negeri Perak telah mengesyorkan untuk dibentuk satu Jawatankuasa Penaja bagi memulakan gerak kerja menubuhkan SMP secara sah mengikut peraturan pendaftaran pertubuhan yang digariskan oleh ROS.

“Resolusi perbincangan itu direalisasikan dan SMP telah didaftar sebagai pertubuhan dan dibenarkan untuk membuat pelantikan Ahli Majlis serta menjalankan aktiviti secara sah. Selepas mendapat mandat, kami juga telah membuat Majlis Pentauliahan Ahli Majlis dan Ahli Majlis Kehormat pada 28 September yang lalu.

SMP merupakan sebuah pertubuhan bawah naungan Kerajaan Negeri Perak melalui Yayasan Perak dan Sekretariat ini telah didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

SMP mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama oleh semua pihak sama ada pertubuhan mahupun individu dalam menggerakkan mahasiswa anak Perak di semua peringkat sama ada dalam dan luar negara.