Malaysia Dateline

Yayasan Petronas agih bantuan di Samarahan

Yayasan Petronas dengan kerjasama Stesen Minyak Petronas Samarahan Express Way dan Indah Mark Petronas Kota Samarahan telah menyumbangkan 50 pek bantuan makanan bernilai RM100 setiap pek untuk diagihkan kepada penduduk Bahagian Samarahan yang terputus bekalan makanan semasa penularan wabak Covid-19 hari ini.

Bantuan berkenaan telah diserahkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan untuk disalurkan kepada penduduk yang telah dikenalpasti terputus bekalan makanan di kawasan terbabit.

Pek bantuan makanan tersebut adalah cukup untuk menampung keperluan asas sebuah keluarga selama sebulan.

Selain daripada itu, pihak Stesen Minyak Petronas Samarahan Express Way turut menyediakan sedikit sumbangan keperluan asas kepada kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan yang merupakan barisan hadapan dalam menangani krisis Covid-19 ini.

Sumbangan yang diberikan adalah terdiri daripada lapan kotak penutup hidung dan mulut (face mask), satu kotak sarung tangan (hand glove), 16 botol (60ml) Hand Sanitizer serta dua kotak Nescafe Blend And Brew(White Coffee).

Objektif pemberian sumbangan bantuan makanan ini adalah untuk membantu golongan yang amat memerlukan dan berkeperluan bagi menampung kehidupan seharian mereka.

Justeru, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Nacy Lim Hui Hiok daripada Stesen Minyak Petronas Express Way dan Kho Ing Choon daripada Indah Mark Petronas Kota Samarahan dan pihak PETRONAS Sdn.Bhd Prescila George Likai atas sumbangan yang disampaikan.

Di samping itu, sumbangan yang serupa daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) amatlah dialu-alukan untuk membantu penduduk setempat di sekitarnya.