Malaysia Dateline

Yayasan Usuluddin berhasrat bernaung di bawah YADIM

Yayasan Usuluddin Malaysia (YaUM), sebuah badan dakwah yang menumpukan kepada pendidikan dan kebajikan berhasrat untuk bernaung di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Hal tersebut disampaikan oleh Pengasasnya, Dr Mohamad Kamil Abdul Majid dalam kunjung hormatnya ke ibu pejabat YADIM di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya boleh melaksanakan pelbagai program bersama dengan bernaung di bawah YADIM yang menguntungkan kedua-dua pihak serta membawa manfaat kepada orang ramai.

“Kita boleh adakan kerjasama dalam bidang penerbitan. Buat masa terdekat ini, kami berhasrat untuk terjemahkan buku-buku hasil penulisan cendekiawan Islam Mesir, Yusuf Al Qaradawi untuk menghidupkan konsep Wasatiyyah.

“Kandungan terjemahan itu nanti akan menurut konsep Rahmatan Lil Alamin yang kerajaan bawa hari ini,” lapor laman web YADIM.

Menurut Dr Mohamad Kamil, menerusi usaha terjemahan itu, pihaknya berhasrat menangani gejala fahaman melampau, terutama yang menggunakan alasan agama, dibawa oleh pihak tidak bertanggungjawab ke negara ini.

“Ada keperluan untuk fahaman, ilmu dan pengalaman yang dibawa oleh golongan tertentu, para pelajar umpamanya dari tempat pengajian mereka ke negara ini, agar ianya disesuaikan dengan keadaan dan budaya negara ini.

“Kita mahu ilmu yang berguna dari negara mereka belajar, tetapi pengalaman dan budaya mesti menurut acuan Malaysia, atau Asia Tenggara sekurang-kurangnya,” jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz menyambut baik hasrat YaUM itu dan menyatakan YaUM boleh diletakkan di bawah koordinasi Majlis Amal Islami Malaysia.

Menurutnya, dengan pengalaman YaUM dalam bidang pendidikan, kedua-dua badan dakwah ini boleh bekerjasama dalam menganjurkan seminar berkaitan pemikiran tokoh pada masa akan datang.

YaUM yang ditubuhkan pada 17 Februari 2012 di bawah Akta Pertubuhan, Jabatan Perdana Menteri giat menjalankan kelas pengajian, aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.