Malaysia Dateline

Yayasan Wilayah Persekutuan beri notis amaran pada syarikat pengendali

Berikutan pemaparan dua iklan lucah yang tertular di media sosial semalam, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis amaran terhadap syarikat operator, ‘Out Of Home’.

Difahamkan, pemasangan visual Sugarbook pada dua unit struktur iklan itu, adalah di luar pengurusan YWP yang dikenalpasti disiarkan di kawasan Mont Kiara dan Bangsar, Kuala Lumpur selepas menerima aduan pada 17 December.

Dalam kenyataannya hari ini, selain notis amaran, YWP telah memanggil syarikat operator berkenaan dan memberikan surat tunjuk sebab kepada pihak syarikat tersebut.

“Setelah menerima aduan, pihak YWP telah mengambil tindakan segera dengan menghubungi syarikat operator yang berkenaan dan mengarahkan agar pemaparan visual tersebut dihentikan dan diturunkan dengan segera.

“Pada jam 9.45 malam, berdasarkan pemeriksaan oleh YWP di lokasi-lokasi yang berkenaan, mendapati paparan visual tersebut telah dihentikan dan diturunkan sebagaimana arahan yang dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), paparan iklan LED Sugarbook yang sensitif dan berunsur lucah itu merupakan milik Yayasan Wilayah Persekutuan yang telah melantik Tetuan Out Of Home sebagai operator.

Namun katanya, kandungan iklan tersebut tidak mendapat kelulusan dari DBKL dan YWP.

Hari ini, Wanita Muda AMANAH Nasional (WARDA) turut meluahkan rasa kesal dengan pemaparan dua iklan lucah yang disifatkab sebagai tidak sensitif dan mendukacitakan.

Setiausahanya, Nusaibah Norbawi, berkata, biarpun pihak DBKL telah mengeluarkan arahan supaya iklan tersebut ditarik balik, namun kesilapan itu menunjukkan kelemahan penguatkuasaan yang amat ketara.

“Justeru, Warda Nasional yang merupakan sayap wanita muda dalam AMANAH ingin mempersoalkan apakah tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diambil termasuklah menapis terlebih dahulu mana-mana kandungan iklan sebelum dipaparkan untuk tatapan umum?,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, siasatan akan dilakukan mengapakah iklan sedemikian boleh disiarkan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya pengusaha didapati melanggar peraturan.